Home Nasional Polis tahan empat lelaki beraksi Superman di DUKE

Polis tahan empat lelaki beraksi Superman di DUKE

Polis menahan empat lelaki yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket dan Superman di Lebuh Raya DUKE baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket dan Superman di Lebuh Raya DUKE baru-baru ini.

Mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang diadakan Unit Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 19 hingga 21 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur.

Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) 1987 Akta Pengangkutan Jalam (APJ) kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Operasi diadakan bermula 5 November sehingga awal pagi hari ini, kata Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Supritendan Zulkafli Chek Lah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 5 November lalu, polis juga telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di Jalan Walter Granier di sini yang sedang memandu kenderaan motokar jenis Bentley berwarna hitam dan dalam operasi motosikal pada semalam polis telah menahan dan menangkap seorang orang lelaki berumur 21 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR di Jalan Raja Laut.

Kedua-duanya di tangkap di bawah Sekyen 29(1) Akta Kanun Keseksaan 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108 ( 1 ) APJ 1987 kerana mempamerkan cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu.

“Dalam operasi pelbagai pula, telah menahan dan menangkap 12 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 54 tahun di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol,” kata Zulkafli.

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 371 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 10 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

Operasi secara berterusan akan dijalankan pada setiap hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya, katanya.- MalaysiaGazette