BUKIT MERTAJAM – Angkatan Pertahanan Awam (APM) kini berdepan kekangan aset logistik ketika menjalankan operasi menyelamat serta menghadapi bencana.
Ketua Pesuruhajaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, kekuatan anggota APM untuk sesuatu bencana atau operasi menyelamat di setiap negeri amat mencukupi.
“Pengoperasian kita berdepan kekangan dari segi aset logistik di mana bukan semua aset yang kita miliki ini boleh digunakan pada setiap masa malah, ia bergantung pada keadaan serta lokasi.
“Sebagai contoh lori lima tan boleh meredah kawasan banjir namun sekiranya kawasan kampung itu kecil ia menyukarkan kita untuk masuk sekali gus memerlukan lori tiga tan tetapi kita tidak mempunyai aset tersebut di lokasi terbabit.
“Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan APM memang memerlukan pelbagai aset khususnya pacuan empat roda untuk membolehkan kita masuk ke semua kawasan tanpa sebarang halangan,” katanya selepas melihat demonstrasi mencari dan menyelamat mangsa banjir dalam norma baharu di Jeti Nelayan Kampung Terus di sini, hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kekangan pihaknya ketika melakukan operasi menyelamat mangsa bencana termasuk menghadapi Monsun Timur Laut.
Sementara itu, Roslan memberitahu, demonstrasi itu dilakukan di setiap negeri sebagai persiapan pihaknya untuk bertindak pantas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Kita buat latihan untuk memastikan anggota mampu mengendalikan peralatan dengan betul sekali gus memperbaiki kelemahan agar tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika melakukan operasi menyelamat,” jelas beliau.
Mengulas lanjut Roslan berkata, APM memerlukan penambahbaikan dalam peralatan asetnya berikutan peranannya yang banyak bersama masyarakat. – MalaysiaGazette