Home Sukan Harris positif Covid-19

Harris positif Covid-19

Harris Harun.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan kapten pasukan negara itu, Harris Harun telah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan.

Harris kini sedang dikuarantin dan tahap kesihatannya berada dalam pemantauan pakar kesihatan Singapura sekaligus terlepas kem latihan pusat di Dubai sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

FAS dalam satu kenyataan berkata, semua pemain dan pegawai pasukan telah selesai menjalani ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) dan keputusan negatif membolehkan mereka semua berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada hari ini.
Pasukan itu akan berada di sana selama 10 hari sehingga 17 November dan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan ranking ke-96 dunia, Kyrgyzstan dan pilihan Liga Morocco.

Ketiadaan Harris dijangka akan menjejaskan perancangan Ketua Jurulatih, Tatsuma Yoshida untuk menguji taktikal baharu di samping membentuk keserasian bersama pemain lain.

“Kem latihan ini akan memberi peluang kepada kami untuk menentang pasukan negara lain. Ini sangat penting dan menjadi sebahagian daripada persiapan kami.

“Beberapa pemain seperti Safuwan Baharuddin dan Ikhsan Fandi akan menyertai kami di Dubai. Mereka sudah lama tidak bersama pasukan selama hampir dua tahun dan kami tidak sabar untuk menanti kedatangan mereka.

“Di Dubai, kami akan menilai prestasi mereka dan memberi peluang kepada pemain untuk membentuk keserasian serta menguji keupayaan mereka dalam perlawanan,” tambah Tatsuma,” dalam kenyataan itu.

Singapura

Sementara itu, seramai 27 pemain yang dipilih mula menjalani latihan pusat sejak 25 Oktober lalu, dua minggu selepas tamat Liga Premier Singapura (SPL) musim 2021.

Walaupun kempen Piala Suzuki AFF 2020 bermula pada 5 Disember depan, namun mereka membuat persiapan lebih awal untuk memastikan setiap pemain lebih bersedia dari segi fizikal dan kecergasan.

Paling menarik, Singapura kali ini mempunyai seorang pemain naturalisasi dari Korea Selatan, Song Ui-young dari kelab Lion City Sailors.

Ini merupakan panggilan pertama Song Ui-young selepas mendapat status warganegara yang sah pada 20 Ogos lalu. – MalaysiaGazette