ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Perupok di Yan semasa bermain dengan kakaknya, pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian yang menimpa Mohd Hafiz Izzan Awari itu pada 6.45 petang.
“Kanak-kanak ini dikatakan berkunjung ke rumah neneknya di Kampung Perupok bersama-sama ibu dan kakaknya berusia sembilan tahun sebelum pergi bermain dengan kakaknya itu di tepi sungai berkenaan, iaitu lokasi mangsa dipercayai terjatuh sebelum hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahnaz berkata, sebelum kehilangan mangsa, kakaknya dikatakan telah pulang ke rumah neneknya dan meninggalkan adiknya itu bermain seorang diri di tepi sungai berkenaan yang ketika itu air sungainya dipercayai mengalir deras.
“Setelah mendapati kanak-kanak itu masih belum pulang, ibu dan kakaknya bergegas ke lokasi kejadian, namun hanya basikal mangsa berada di situ dan mangsa gagal ditemukan,” katanya menambah Bomba dan Penyelamat Yan serta pasukan Rela daerah kini masih menjalankan operasi mencari mangsa. – Bernama