Home Nasional Lima penjuru di Pengkalan Batu

Lima penjuru di Pengkalan Batu

Calon Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee (tengah) beramah mesra bersama calon Barisan Nasional, Kalsom Nordin (kiri), calon Pakatan Harapan, Muhammad Danish (dua kiri), calon Perikatan Nasional, Azrudin Idris (dua kanan) dan calon Parti PUTRA, Mohd Aluwi Sari (kanan) selepas menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Pengkalan Batu N.15 di Dewan Mini Stadium Bistari, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.15, Pengkalan Batu, Datuk Anis Ali Hasan.

Beliau yang mengumumkan perkara itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lima pencalonan yang terdiri daripada calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Calon-calon tersebut adalah Datuk Kalsom Nordin (BN), Muhammad Danish Zainuddin (PH), Mohd Aluwi Sari (Putra), Norhizam Hassan Bakti (Bebas) dan Azrudin Idris (PN).

Pusat penamaan calon dibuka pada pukul 7.30 pagi dan ditutup pukul 10 pagi.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November ini manakala penamaan calon pada hari ini dan undi awal pada 16 November.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – MalaysiaGazette