MELAKA, 8 Nov — Semua majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan diadakan di negeri ini sejak dari 4 Nov hingga 27 Nov depan.
Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Melaka menerusi kenyataan Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat yang dikemas kini semalam memaklumkan selain itu, semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan sejak 25 Okt hingga 27 Nov ini.
Turut tidak dibenarkan adalah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan.
Menurut MKN, sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.