Home Nasional Pusat penamaan calon PRN Melaka ditutup 10 pagi

Pusat penamaan calon PRN Melaka ditutup 10 pagi

Petugas SPR membuat persiapan akhir di pusat penamaan calon pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Lendu N.04 ketika di Dewan Kompleks Masjid Tanah, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Kesemua 28 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditutup 10 pagi ini.

Proses penamaan calon yang bermula 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong yang mengiringi calon sehingga ke pusat penamaaan.

Kebenaran hanya diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh akan mengadakan sidang media berhubung proses penamaan calon di Menara Persekutuan di sini, 11 pagi ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

— BERNAMA