Home Nasional 13 motosikal hangus dalam kebakaran

13 motosikal hangus dalam kebakaran

13 buah motosikal hangus dalam kebakaran di Flat Blok 3 Desa Mawar, Lintang Kampung Melayu, Ayer Itam hari ini.

GEORGE TOWN – Penduduk di Blok 3 Desa Mawar, Lintang Kampung Melayu, Ayer Itam di sini, cemas selepas dikejutkan dengan kebakaran melibatkan 13 buah motosikal yang diletakkan di kawasan parkir flat berkenaan awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika semua pemilik kenderaan sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bau asap serta jeritan beberapa saksi yang berada berdekatan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, semua pemilik kenderaan berkenaan gagal menyelamatkan motosikal masing-masing berikutan api yang marak.

Sebahagian motosikal hangus sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.12 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan sebelum mendapati api sedang marak di deretan motosikal yang diletakkan di kawasan parkir.

“Kebakaran berkenaan tidak membabitkan struktur bangunan atau mangsa dan pihak bomba mengambil masa selama lima minit bagi mengawal api.

“Hasil pemeriksaan kita dapati enam daripada 13 motosikal itu musnah 100 peratus.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.46 pagi manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pihak bomba sedang memadamkan api di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Kita kini sedang menjalankan siasatan berhubung punca kejadian termasuk kemungkinan wujud unsur khianat dalam kejadian tersebut.

“Sehubungan itu, kita minta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi. – MalaysiaGazette