LONDON – Legenda Ukraine dan AC Milan, Andriy Shevchenko dilantik sebagai pengurus kelab Serie A, Genoa yang merupakan pengalaman pertamanya membimbing sebuah kelab.
Sebelum ini pengurus berusia 45 tahun itu pernah menggalas tanggungjawab dalam mengendalikan skuad kebangsaan Ukraine bermula 15 Julai 2016 hingga 1 Ogos lalu.
Shevchenko dilaporkan mengikat kontrak sehingga 2024 berikutan pemecatan pengurus terdahulu, Davide Ballardini gara-gara aksi kurang menyakinkan Genoa yang hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, enam keputusan seri dan lima kekalahan setakat ini.
Menurut ciapan di laman Twitter peribadi miliknya, Shevchenko melaungkan keyakinan untuk mengembalikan kegemilangan Genoa.
Lebih menarik untuk diperkatakan, lawan pertama bakal dihadapi oleh Shevchenko dalam saingan Serie A pada minggu hadapan ialah AS Roma yang dibimbing oleh bekas pengurusnya ketika beraksi bersama Chelsea, Jose Mourinho.
Ketika bersama Chelsea, Shevchenko dan Mourinho telah memenangi kejuaraan Piala FA dan Piala Liga serta muncul naib juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2006/07.
Dia kini kembali ke Itali yang pasti menggamit kembali nostalgia dalam kariernya bersama AC Milan apabila Shevchenko menjadi salah seorang penyerang berbisa di Eropah pada ketika itu. – MalaysiaGazette