KESIDANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying berharap para pengundi dan penduduk kawasan itu mampu mengenalinya walaupun beliau memakai pelitup muka.
“Semasa makan tengah hari tadi, saya ambil masa untuk bersembang dengan penduduk Kesidang bagi lebih memahami keperluan mereka.
“Walaupun saya memakai face mask, saya berharap anda semua masih dapat cam saya dan ucap hello dengan saya,” katanya adalam laman Facebook.
Hui Ying, 20, yang merupakan graduan dalam bidang media adalah calon termuda BN akan berdepan Seah Shoo Chin (DAP) yang memenangi kerusi kawasan itu dengan majoriti 14,612 pada 2018.
Dalam pada itu, Hui Ying memberitahu, beliau telah menerima pelbagai aduan daripada pengundi sejak beberapa hari lalu dan sedaya upaya akan menyelesaikan melalui bantuan pihak berwajib.
“Mungkin pada kempen kali ini, saya tidak akan dapat pergi ke semua pelusuk tempat dan bertemu dengan semua pengundi satu persatu tetapi saya juga akan sedaya upaya cuba sehabis baik untuk bertemu dengan sesiapa yang amat memerlukan,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November. -MalaysiaGazette