Home Sukan Covid-19: Brunei tarik diri Piala AFF Suzuki

Covid-19: Brunei tarik diri Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) mengambil keputusan menarik diri dari saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula pada 5 Disember ini ekoran kesukaran ekoran pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Presiden FABD, Pengiran Matusin Pengiran Matasan menegaskan, selain faktor pandemik Covid-19, persediaan pasukan kebangsaan yang tidak berada dalam keadaan terbaik juga menjadi salah satu sebab mengapa mereka menarik diri.

“Kami kecewa kerana pasukan kebangsaan kami tidak dapat beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura pada Disember ini. Pandemik ini telah memberi kesan terhadap persiapan pasukan kami.

“Meskipun segala usaha telah dilakukan untuk menghadapi isu ini, namun kami berdepan kesukaran dan kami mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada AFF bagi kejohanan edisi kali ini dan kami juga terbuka untuk menyertai mana-mana kejohanan pada masa akan datang,” katanya.

Penarikkan diri Brunei disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada hari ini melalui satu kenyataan baru-baru ini.

Presiden AFF, Major General Khiev Sameth berkata, pihaknya merasa sedih dengan penarikan skuad kebangsaan Brunei namun memahami keputusan yang diambil oleh FABD.

“Kami faham rantau ASEAN menerima tamparan hebat ekoran pandemik ini dan semua pihak telah berusaha untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi. Sementara kami akan merindui kelibat Brunei dalam saingan edisi kali ini, namun kami pasti mereka akan bangkit dan menyertai kejohanan pada masa akan datang,” katanya.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu dijadualkan turun menentang Timor Leste dalam perlawanan play-off pada 1 Disember ini.

Setelah penarikan Brunei, Timor Leste secara automatik berada dalam kumpulan A bersama Thailand, Myanmar, Filipina dan Singapura. – MalaysiaGazette