KUALA LUMPUR – Bek tengah pasukan negara, Irfan Zakaria dilaporkan mengalami kecederaan serius dalam aksi Piala Malaysia menentang Penang FC pada Ahad lalu.
Kecederaan tersebut bukan sahaja memberi masalah buat jurulatih, Bojan Hodak selepas Kuala Lumpur City FC berjaya melangkah ke suku akhir Piala Malaysia buat kali pertama di dalam tempoh 29 tahun.
Malah ia juga sudah pasti merunsingkan pengendali skuad kebangsaan negara, Tan Cheng Hoe yang sedang mencongak senarai pemain untuk dibawa ke Singapura nanti.
Berdasarkan perkembangan terbaru yang dikongsikan Astro Arena, pemain pertahanan berusia 26 tahun itu terpaksa selama berehat tiga bulan akibat kecederaan yang dialaminya.
Dalam insiden minit ke-73 perlawanan, Irfan kelihatan terbaring selepas cuba bersaing merebut hantaran bola tinggi dengan seorang pemain Penang FC.
Irfan kini disahkan mengalami kecederaan urat di bahagian buku lali putus dan diadualkan akan menjalani pembedahan pada Rabu ini.
Perkembangan terkini ini bermakna Irfan Zakaria sah tidak akan menyertai skuad Harimau Malaya untuk kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 bermula pada 5 Disember hadapan.
Untuk rekod, Irfan Zakaria adalah antara pemain penting di bahagian pertahanan skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe.
Pada tahun ini, Irfan turut memperkuatkan cabaran pasukan negara ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang lalu.
Namanya turut menjadi sandaran dalam dua perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan pada Oktober lalu, sekaligus memberi bayangan Irfan akan turut berada di dalam senarai skuad yang akan ke Singapura pada Disember hadapan.
Ketiadaan Irfan bagaimanapun dijangka tidak akan merencatkan perancangan Tan Cheng Hoe selepas bek tengah JDT, Shahrul Saad sudah kembali cergas sepenuhnya.
Selain itu, Tan Cheng Hoe turut mempunyai pilihan untuk memanggil pemain-pemain lain seperti Adam Nor Azlin, Dominic Tan atau pun Sharul Nazeem. – MalaysiaGazette