Home Nasional Johor bakal sediakan Pusat Pengembara Perniagaan

Johor bakal sediakan Pusat Pengembara Perniagaan

Exco Pelaburan Pembangunan Usahawan Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad (kiri) selepas merasmikan Karnival Kerjaya Khas Belia dan Wanita Johor di Taman Skudai Kanan Bandar Baru Uda, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU- Johor bakal mempunyai Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) yang dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan.

Exco Pelaburan Pembangunan Usahawan Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad memberitahu, BTC yang bernilai RM10 juta itu berupaya meyakinkan pelabur dari Singapura untuk datang ke negeri ini.

Penubuhan BTC itu katanya juga akan mempercepatkan pergerakan pelabur dan pengembara perniagaan masuk ke Johor dan seterusnya menjalankan aktiviti pelaburan di sini.

“BTC di Johor akan dibuka di Linkedua menerusi peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM10 juta. Pembukaan BTC ini diharap mampu menjadi perintis kepada penubuhan BTC di Tambak Johor.

“Kerajaan negeri sememangnya mahu tubuhkan BTC di Tambak Johor tetapi pelbagai persediaan perlu dilakukan memandangkan laluan tersebut merupakan laluan darat paling sibuk di dunia yang dibimbangi akan berlaku limpahan pelawat,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Kerjaya Khas Belia dan Wanita Johor di Taman Skudai Kanan Bandar Baru Uda hari ini.

Pada Mac lalu media melaporkan penubuhan BTC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang ditubuhkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurut Izhar, penubuhan BTC merupakan  salah satu komponen utama inisiatif Pusat Sehenti (OSC) yang diwujudkan oleh kerajaan bagi memudahkan pergerakan pengembara perniagaan dengan mempercepatkan kemasukan mereka untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

Terletak di Gate C36, Terminal Satelit KLIA, kemudahan itu dibuka untuk pengembara perniagaan jangka pendek yang berhasrat untuk berada di Malaysia kurang 14 hari bagi menjalankan operasi perniagaan dalam negara.

Sebaik tiba di KLIA, pengembara perniagaan ini akan menjalani ujian calitan RT-PCR di Makmal Khas Covid-19 di BTC dan perlu menunggu selama tiga jam sebelum mengetahui keputusan ujian berkenaan.

Dalam pada itu, Izhar juga yakin Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Malaysia dan Singapura bermula hujung bulan ini akan membuka lebih banyak ruang perbincangan kedua-dua negara untuk memperkenalkan lebih banyak skim laluan perjalanan.

Jelasnya selain VTL, terdapat skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara dilakukan.

Pada Isnin Malaysia dan Singapura dilaporkan akan melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November 2021.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong yang dikeluarkan selepas kedua-dua pemimpin berbincang melalui panggilan telefon Isnin lalu.- MalaysiaGazette