KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran negara terus menurun sebanyak 4.5 peratus kepada 729,600 pada bulan September lalu dipacu oleh peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang membenarkan lebih banyak aktiviti perniagaan untuk beroperasi dengan waktu operasi perniagaan dilanjutkan.
Di samping itu, kebenaran rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di negeri Terengganu dan Pulau Langkawi juga telah menggalakkan aktiviti ekonomi pada bulan tersebut.
Kesemua situasi positif ini telah mendorong pasaran buruh untuk mendapatkan semula momentumnya dan kembali kukuh.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menjangkakan situasi semasa krisis kesihatan di negara ini didapati bertambah baik dengan jumlah kes harian Covid-19 menurun manakala bilangan yang lengkap divaksin semakin meningkat.
Pada bulan Oktober, semua negeri berada dalam Fasa 3 dan Fasa 4 PPN, sekaligus membolehkan pergerakan penuh perjalanan rentas negeri.
”Kelonggaran sekatan ini telah menggalakkan lebih banyak aktiviti perjalanan di dalam negara seterusnya mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan.
”Aktiviti ekonomi dinamik yang berterusan akan mempercepatkan proses pemulihan perniagaan, sekaligus akan meningkatkan permintaan buruh dan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
”Ekonomi negara dijangka meningkat pada bulan-bulan akan datang yang digambarkan oleh prestasi Indeks Pelopor yang lebih baik.
Sejajar dengan itu, pasaran buruh dijangka akan meningkat secara beransur-ansur dalam tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan Laporan Statistik Tenaga Buruh Bulan September dan Suku Ketiga 2021 hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan berkata, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.46 juta orang (Ogos 2021: 15.38 juta orang) dan seterusnya merekodkan nisbah guna tenaga kepada penduduk naik kepada 65.5 peratus (Ogos 2021: 65.2%).
Sementara itu, bilangan penganggur merekodkan penurunan bagi bulan kedua iaitu sebanyak 2.6 peratus merekodkan 729,600 orang (Ogos 2021: 748,800 orang).
Kadar pengangguran pada bulan September 2021 terus menyusut kepada 4.5 peratus setelah mencatatkan 4.6 peratus pada bulan Ogos 2021.
Justeru, bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut berjumlah 16.19 juta orang, meningkat sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan (Ogos 2021: 16.13 juta orang).
Selaras dengan itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut meningkat kepada 68.6 peratus (Ogos 2021: 68.4%).”
Mengikut sektor ekonomi, penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan maklumat & komunikasi.
Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pmbinaan juga merekodkan perubahan positif manakala sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian kekal menurun.
Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang meliputi 77.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja terus bertambah sebanyak 0.2 peratus kepada 11.93 juta orang (Ogos 2021: 11.90 juta orang).
Begitu juga, kategori penduduk bekerja sendiri meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 2.57 juta orang (Ogos 2021: 2.54 juta orang).
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur.
Sementara itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun kekal pada 13.9 peratus pada bulan tersebut manakala kadar pengangguran bagi belia yang berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 8.5 peratus berbanding
bulan sebelumnya (8.8%).
Mengulas lanjut prestasi keseluruhan bagi suku ketiga 2021, beliau berkata, bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.3 peratus suku tahun ke suku tahun kepada 16.02 juta orang (ST2 2021: 15.97 juta orang) setelah mencatatkan penurunan pada suku kedua 2021.
Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 15.27 juta orang (ST2 2021: 15.21 juta orang) terutamanya dalam sektor
perkhidmatan dan pembuatan.
Sebaliknya, kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus merekodkan bilangan penganggur seramai 746, 200 orang (ST2 2021: 4.8%; 764,900 orang).
KPTB pada suku ini kekal pada 68.3 peratus mencatatkan KPTB lelaki dan perempuan masing-masing pada 80.9 peratus dan 55.0 peratus.
Tambah beliau, tujuh negeri merekodkan penurunan kadar pengangguran pada suku tersebut.
Kadar pengangguran terendah direkodkan oleh Putrajaya (1.0%), diikuti Melaka (3.0%), Selangor (3.6%), Negeri Sembilan (3.7%) dan Pulau Pinang (3.7%).
Pada masa yang sama, terdapat sembilan negeri merekodkan peningkatan dalam KPTB yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam ekonomi.
KPTB tertinggi dicatatkan oleh negeri Selangor (74.7%), Kuala Lumpur (73.6%), Pulau Pinang (70.7%), Putrajaya (70.2%) dan Sarawak (69.7%). – MalaysiaGazette