KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Rentas Kementerian untuk memperincikan dan menyelesaikan masalah kenaikan harga baja dan racun yang dialami pekebun.
Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan berfungsi sebagai medium untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mengambil langkah menangani masalah itu.
Ujarnya, antara kementerian yang akan terlibat adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“MAFI ketika ini sedang menggerakkan satu task force bersama beberapa kementerian lain termasuk KPDNHEP dan juga Kementerian Kewangan untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah yang perlu untuk membantu pihak pengusaha-pengusaha kecil pertanian yang berhadapan dengan kenaikan harga baja dan racun yang agak tinggi pada ketika ini.
“Jadi kita akan mewujudkan Jawatankuasa Khas Rentas Kementerian untuk mengenal pasti masalah dan mengemukakan cadangan-cadangan yang perlu kepada kerajaan untuk tindakan susulan yang perlu diambil bagi menangani masalah kenaikan harga racun dan baja di negara ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), Program Smart SBB antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh MAFI dengan tujuh syarikat peneraju, di Menara Pertubuhan Peladang.
Tambah beliau, kementeriannya sedar pekebun dan pengusaha kecil pertanian bergantung dengan baja dan racun untuk memastikan tanaman mereka tidak rosak.
“Ramai penternak, petani yang bergantung dengan baja dan racun dalam perusahaan mereka berhadapan dengan masalah kenaikan harga dua digit ini. Jadi di peringkat MAFI, kita meneliti masalah dan mendengar keluhan petani dan pesawah di negara ini,” ujarnya.
Media baru-baru ini melaporkan, bahawa lebih kurang 400,000 atau 80 peratus daripada 500,000 peladang dan pekebun kecil seluruh negara dihimpit dengan kenaikan harga baja serta racun serangga sejak sebulan lalu.
Sementara itu, Ronald turut memberi jaminan sentiasa memantau perkembangan semasa melibatkan bekalan ayam di pasaran,
Kata beliau, MAFI tidak teragak-agak untuk mengimport ayam sekiranya berlaku keperluan mendadak daripada segi bekalan.
“Masalah ini pernah berlaku sebelum ini dan tindakan jalan penyelesaian yang diambil oleh kerajaan pada ketika itu adalah dengan membenarkan import masuk ayam dari negara luar.
“Jadi di peringkat kementerian, kita sedang meneliti masalah ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sedemikian jika diperlukan dalam masa terdekat atau masa akan datang.
“Kerajaan akan terus memantau keadaan dan beberapa tindakan boleh diambil oleh kementerian seperti yang saya sebut tadi,” tambah beliau. – MalaysiaGazette