JOHOR BAHRU – Pembangunan sektor pendidikan akan diberi tumpuan pada Bajet Johor 2022 yang diumumkan tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad berkata, perkara itu merangkumi pelbagai inisiatif khususnya bagi memperkasa para ilmuwan dan modal insan di negeri tersebut.
“Mana- mana majlis saya hadir, jika ada kesempatan saya ambil untuk menerangkan betapa bertuahnya kita berada di negeri Johor dan menyatakan hasrat kerajaan untuk terus menjadikan negeri Johor ini sebagai sebuah negeri yang penting dalam negara kita.
“Maka, untuk itu kita perlu sentiasa mencungkil, menggilap dan terus memperluaskan lagi potensi yang ada dalam kalangan rakyat di negeri Johor ini,” katanya pada Majlis Anugerah Hari Guru, di sini, semalam.
Jelas Hasni, kerajaan negeri akan memberi fokus terhadap usaha melestarikan pendidikan dan latihan kemahiran bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan serta berkemahiran tinggi.
“Johor perlu mempunyai modal insan berkemahiran tinggi bagi memastikan kita dapat menjadi sebuah negeri yang penting dalam negara.
“Ini yang kita akan bantu dan berikan tumpuan dalam Belanjawan 2022 Johor nanti,” ujarnya.
Hasni berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan sektor pendidikan mendapat sentuhan secukupnya, sekali gus memastikan potensi sedia ada dapat dicungkil.
Dalam pada itu, beliau berpendapat sesi pembelajaran harus dimulakan dengan segera selepas tertangguh sekian lama akibat pandemik Covid-19.
“Kita tahu bahawa ramai anak-anak kita tidak dapat ke sekolah, ramai juga yang terganggu pembelajaran mereka oleh kerana sama ada kekangan ekonomi keluarga atau pun oleh kerana sistem pendidikan yang diperkenalkan dalam waktu kita menghadapi pandemik itu sukar untuk dilaksanakan.
“Maka, atas dasar itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan kita dapat mengembalikan semula, memulakan semula atau ‘reset’ balik kaedah pendidikan kita secepat yang mungkin, ujarnya. – MalaysiaGazette