SHAH ALAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman selama lima hari terhadap seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah hampir RM1 juta.
Perintah reman yang bermula hari ini itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Menurut sumber, lelaki berumur 50 tahun itu disyaki meminta ‘wang perlindungan’ agar pemilik kilang tidak diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa atas kesalahan melibatkan pekerja kilang itu dan juga berhubung pekerja warga asing yang meninggal dunia akibat COVID-19.
Dia disyaki meminta dan menerima wang berjumlah RM840,000 secara tunai dan pindahan dalam talian sejak Julai hingga September lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – Bernama