Home Nasional Rumah Prihatin akan jadi Pusat Ekonomi Digital – Annuar

Rumah Prihatin akan jadi Pusat Ekonomi Digital – Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengasas Rumah Pihatin, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan bantuan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan Deepavali Rumah Prihatin di Grand Seasons Hotel, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sesuai dengan fasa endemik, Rumah Prihatin@GrandSeasons akan diubah menjadi Pusat Ekonomi Digital untuk kemudahan para peniaga kecil sekitar Wilayah Persekutuan.

Pengasas Rumah Prihatin, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pusat Ekonomi Digital itu akan digerakkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Jelasnya, penduduk sekitar ibu kota yang berniaga secara kecil-kecilan boleh menggunakan kemudahan internet yang ada untuk menjana pendapatan.

Menurut Annuar, latihan untuk menjalankan aktiviti ekonomi secara digital juga akan diadakan di Rumah Prihatin.

“Sekarang ini di fasa endemik kita menggalakkan rakyat untuk memulakan semula aktiviti ekonomi dan program-program penjanaan pendepatan mereka bersesuaian dengan itu.

“Di sini kita dapat melatih khususnya penduduk sekitar Wilayah Persekutuan daripada golongan-golongan peniaga, penjaja dan sebagainya untuk menceburkan diri dalam kegiatan-kegiataan ekonomi digital,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan Bantuan Deepavali Rumah Prihatin hari ini.

Beliau menjangka 1,000 peserta dalam kalangan peniaga kecil akan menyertai Pusat Ekonomi Digital yang turut dilaksanakan di seluruh negara.

“Program ini adalah program yang kementerian jalankan di seluruh negara di mana hampir 1,000 pusat Ekonomi Digital digerakkan serentak mulai sekarang untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia mengambil peluang daripda perkhidmatan jalur lebar yang diperluaskan ke seluruh negara dan membudayakan aktiviti ekonomi yang baharu untuk menyertai dalam bidang e-commerce,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan memperluaskan jalur lebar internet di Projek Perumahan Rakyat  sekitar ibu kota.

Usaha itu, katanya, akan dapat menggalakkan penduduk yang tinggal di PPR-PPR untuk berniaga secara dalam talian sekaligus menjana pendapatan.- MalaysiaGazette