GURUN – Seorang lelaki yang membunuh ibunya dengan mengelar leher warga emas itu ditemui maut digilis sebuah lori tangki dalam kejadian di Kampung Batu 5, di sini, hari ini.
Mayat Sarah Jon, 70, ditemui di ruang tamu rumahnya manakala mayat suspek yang juga anak bongsunya itu ditemui di atas jalan raya kira-kira satu kilometer dari kediaman mereka.
Suspek berusia 31 tahun itu dikatakan melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum membunuh diri dengan menerpa ke arah sebuah lori tangki yang melalui jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 7.30 pagi daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan pada mayat wanita tersebut pihak polis menemui kesan kelar pada leher sedalam 12 sentimeter yang dipercayai dilakukan suspek menggunakan pisau.
“Selain itu, mangsa turut mengalami kecederaan pada tangan kanan dan telinga kiri dipercayai akibat mempertahankan diri ketika diserang oleh anak bongsu daripada empat beradik itu.
“Susulan itu, kita juga terima maklumat berhubung penemuan mayat suspek yang dipercayai digilis lori,” katanya pada pemberita di lokasi kejadian.
Adzli berkata, siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian berlaku pertengkaran antara dua beranak tersebut.
“Mereka tinggal berdua di rumah tersebut dan pertengkaran yang berlaku malam tadi turut didengari jiran berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah membawa kepada penemuan sejumlah dadah serta peralatan menghisapnya, malah tiada kesan pecah masuk.
“Semakan lanjut mendapati suspek yang bekerja sebagai penoreh getah itu merupakan pesakit mental dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah,” kata beliau.
Tambah Adzli, mayat dua beranak itu dihantar ke ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette