Home Nasional Kos RM4 juta selenggara pejabat menteri, timbalan menteri

Kos RM4 juta selenggara pejabat menteri, timbalan menteri

Datuk Abdul Latiff Ahmad. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membelanjakan lebih RM4 juta untuk penyelenggaraan pejabat menteri dan timbalan menteri pada tahun lalu dan tahun ini.

Jabatan Perdana Menteri muncul dengan perbelanjaan terbanyak iaitu RM1.03 juta diikuti Kementerian Perpaduan (RM589,618) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM425,130).

Jumlah itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

“Sepanjang tahun 2020 dan 2021, sebanyak empat kementerian/jabatan telah membuat kerja-kerja penyelenggaraan berkala dengan kos keseluruhan adalah sebanyak RM4.004 juta,” katanya dalam jawapan bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan secara teperinci jumlah kos membaiki pejabat 69 orang menteri dan timbalan menteri bagi tempoh 2020 hingga sekarang.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, penyelenggaran pejabat-pejabat menteri dan timbalan menteri merupakan salah satu daripada keperluan dalam pengurusan fasiliti sesebuah bangunan.

Jelasnya, ini bagi memastikan semua fasiliti dan kemudahan pejabat-pejabat tersebut akan sentiasa terpelihara dalam keadaan baik dan kekal berfungsi sebagai mana yang dikehendaki.

Justeru, penyelenggaran bagi pejabat menteri dan timbalan menteri sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.

“Dalam hal ini, antara kos penyelenggaraan yang terlibat adalah membaik pulih sistem pendawaian yang rosak, siling yang rosak, karpet dan perabot yang usang serta memasang sistem telesidang video di pejabat dan bilik mesyuarat anggota pentadbiran,” tambahnya. – MalaysiaGazette