KUALA LUMPUR – Pendapatan e-dagang Malaysia mencatatkan RM279.0 bilion, melonjak 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2021.
Bagi pertumbuhan suku tahunan, pendapatan e-dagang mengekalkan trend positif dengan peningkatan 4.3 peratus.
Bermula Januari sehingga September, pendapatan e-dagang merekodkan RM801.2 bilion, meningkat 23.1 peratus bagi tahun ke tahun.
Di peringkat negeri, e-dagang dipacu oleh negeri perindustrian yang terdiri daripada negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang manakala di peringkat industri, sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan pendapatan e-dagang.
Prestasi yang lebih baik ini pastinya didorong oleh pembudayaan norma baharu semasa pandemik Covid-19 yang meningkatkan lagi penggunaan digital
di Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sejak wabak Covid-19 melanda Malaysia bermula akhir Januari 2020, Kerajaan Malaysia telah
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan virus Covid-19.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hanya 38.1 peratus pertubuhan beroperasi berbanding 92.4 peratus pertubuhan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dari segi pendapatan keseluruhan, 79.6 peratus pertubuhan dilaporkan mengalami penurunan pendapatan semasa PKP, manakala 46.9 peratus pertubuhan dilaporkan mengalami penurunan pendapatan semasa PKPP.
Bagi pendapatan e-dagang, 19.1 peratus pertubuhan mengalami peningkatan pendapatan bagi tempoh PKP dan 26.1 peratus penigkatan pendapatan bagi tempoh PKPP.
Menurutnya, teknologi digital berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) – dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia pada Februari 2021 merupakan asas kepada transformasi Malaysia untuk menjadi “nadi digital serantau” yang dijangka merangsang produktiviti, meningkatkan inovasi dan menambah baik kehidupan dengan memanfaatkan internet, big data, internet of things (IoT), artificial intelligence (AI) dan teknologi lain. – MalaysiaGazette