Home Nasional Senaraikan Pulau Pinang dalam VTL – Soon Hin

Senaraikan Pulau Pinang dalam VTL – Soon Hin

Soon Hin.

GEORGE TOWN – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin menggesa kerajaan menyenaraikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dalam Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Jelas beliau, pelancaran VTL antara kedua-dua negara itu menandakan detik pembukaan semula industri pelancongan antarabangsa Malaysia yang tergendala sejak Mac 2020 akibat pandemik Covid-19.

Soon Hin mengalu-alukan tindakan menyenaraikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi VTL yang akan berkuat kuasa mulai 29 November ini.

“Bagaimanapun, LTAPP juga harus dimasukkan dalam senarai itu memandangkan kedudukannya sebagai pintu masuk penting ke utara Semenanjung Malaysia.

“Saya percaya pembabitan LTAPP dalam VTL Malaysia-Singapura akan menarik lebih banyak trafik udara dari Singapura, sekali gus menjadi penggalak ekonomi Malaysia khususnya kepada Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

“Selain itu, pelancaran VTL di dua bandar secara serentak boleh menggandakan kadar pemulihan ekonomi negara kita yang terjejas, terutama sektor perkhidmatan yang terdiri daripada makanan dan minuman, hotel, pengusaha pelancongan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

VTL membolehkan pengembara yang sudah mendapat vaksin penuh melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura namun tertakluk kepada ujian Covid-19 sebagai ganti kepada perintah kuarantin atau notis duduk rumah.

Mengulas lanjut Soon Hin berkata, pembabitan LTAPP dalam VTL bukan sahaja memberi manfaat kepada Pulau Pinang tetapi juga negeri jiran lain yang semuanya bergantung kepada LTAPP sebagai satu-satunya lapangan terbang antarabangsa bagi trafik dan peluang perniagaan.

“Sebelum pandemik Covid-19, laluan udara antarabangsa antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan LTAPP merekodkan sebanyak 107 penerbangan setiap minggu pada November 2019 dan saya percaya ia adalah angka yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi inisiatif ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette