GEORGE TOWN – Kira-kira 40 peratus penerima dos penggalak di Pulau Pinang didapati tidak hadir janji temu yang ditetapkan, mengikut data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga semalam Pulau Pinang merekodkan seramai 23,129 individu sudah menerima suntikan dos penggalak Covid-19.
“Namun, kira-kira 40 peratus daripada penerima janji temu dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera tidak hadir untuk menerima suntikan dos tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, 26 fasiliti swasta baharu yang bakal tersenarai sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak tambahan berbanding 47 buah yang ada pada masa ini.
Jelasnya, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang bagi menangani wabak Covid-19 yang berlangsung hari ini.
“JKNPP turut menerima dua permohonan untuk mewujudkan ‘Health Care Organisation’ (HCO) pusat pemberian suntikan dos penggalak di dewan yang lebih besar dengan kapasiti melebihi 1,000 suntikan sehari.
“Pada masa sama tumpuan turut diberikan kepada kes-kes suntikan dos kedua termasuk kes yang tercicir,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin mendedahkan kadar vaksinasi dos penggalak di Pulau Pinang amat perlahan berbanding negeri-negeri lain sejak negeri itu melaksanakan program pemberian dos berkenaan pada 18 Oktober lalu. – MalaysiaGazette