KUALA LUMPUR – Malaysia mencadangkan agar satu mekanisme pengawalseliaan koheren yang sewajarnya diwujudkan bagi memudahkan perjalanan secara selamat, selesa serta lancar di rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sambil menggesa supaya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengusahakan langkah itu secara kolektif, perdana menteri berkata, ini penting memandangkan pembukaan semula sempadan akan dapat memacu sektor pengembaraan dan pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, sekali gus dapat merancakkan pemulihan ekonomi.
“Atas alasan ini, saya juga gembira untuk berkongsi mengenai rakyat Malaysia yang mendapat vaksinasi lengkap kini telah mula melakukan perjalanan ke luar negara sejak bulan lepas manakala pelancong asing dapat memasuki Malaysia mengikut pematuhan ketat langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan.
“Malah, sebagai langkah awal bagi membuka semula sempadan antarabangsa, saya juga berbangga untuk menyatakan bahawa bermula 29 November ini, Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura akan turut dilaksanakan.
“Malaysia juga dalam proses melaksanakan Aturan Koridor Perjalanan dengan Indonesia,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) malam ini.
Selain itu, Ismail Sabri juga menekankan keperluan menyaksikan lebih banyak usaha multilateralisme vaksin dilaksanakan menerusi kerjasama lebih erat dalam aspek pengedaran dan perakuan berkaitan.
Perdana menteri menegaskan, pengurusan pandemik yang berkesan memerlukan pemberian vaksin secara adil, saksama dan berpatutan untuk semua dan menjadi asas bagi memastikan tiada ekonomi atau negara ketinggalan dalam usaha terbabit.
Amalan multilateralisme vaksin itu turut berperanan sebagai teras bagi menyalurkan sokongan padu dalam usaha kolektif untuk menangani pandemik serta menyediakan keperluan sewajarnya demi kelangsungan pemulihan ekonomi.
“Apa yang utama adalah dasar perdagangan dan langkah-langkah kemudahan yang diperlukan untuk menyokong usaha rantau ini bagi mengatasi halangan-halangan yang ada.
“Sehubungan itu, Kenyataan Bersama oleh kalangan Menteri-Menteri Perdagangan kita pada Jun 2021 adalah penting bagi mengenal pasti serta mempertimbang untuk menghapuskan halangan tidak wajar terhadap perdagangan, terutama yang dapat mempercepat dan mempermudah aliran rantaian bekalan vaksin,” katanya.
Pada masa sama, perdana menteri juga menggesa supaya diskriminasi vaksin ditamatkan, selain bertindak mempertingkat akses terhadap vaksin tersebut.
“Berdasarkan kepentingan itu, Malaysia akan terus meluluskan semua vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Memandangkan kebebasan bergerak merupakan perkara penting dalam merealisasikan pemulihan ekonomi sepenuhnya, Malaysia menggesa APEC untuk mewujudkan pengiktirafan bersama terhadap sijil vaksin dalam kalangan negara-negara anggotanya,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri membangkitkan mengenai kepentingan peranan pendigitalan dan pertumbuhan hijau yang menjadi landasan bagi masa depan lebih mampan dan berdaya tahan bagi rantau ini.
“Sebahagian besar daripada penyelesaian inovatif yang berasaskan keperluan, turut menyumbang kepada kelangsungan perniagaan, pengekalan kerja, peluang baharu bagi kumpulan tidak formal serta melonjakkan kemajuan ekonomi gig.
“Apa yang lebih penting, dalam usaha kita mengejar inovasi digital, kita juga tidak harus mengetepikan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencapai persekitaran ekonomi yang lebih memberangsangkan serta mampan bagi rantau ini,” katanya. – Bernama