Home Politik DAP dakwa polis tegur pihaknya pakai baju berlogo parti ketika berkempen

DAP dakwa polis tegur pihaknya pakai baju berlogo parti ketika berkempen

Pengarah PRN Melaka DAP, Khoo Pay Tiong bercakap kepada media mengenai dakwaan hanya 511 kertas undi pos yang diterima oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika di Ibu Pejabat DAP Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2021.

KLEBANG – DAP melahirkan rasa kesal atas dakwaan ada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak mengikut tafsiran sendiri ketika melakukan pemantauan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah PRN Melaka DAP, Khoo Pay Tiong mendakwa, jentera kempen parti Pakatan Harapan (PH) telah ditegur oleh anggota polis kerana memakai baju berlogo parti yang dikatakan tidak boleh dipakai ketika berkempen.

Beliau berkata, arahan seperti itu tidak wujud dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika berkempen dan larangannya adalah tidak munasabah.

“Ini satu keputusan dan arahan yang tidak munasabah. Bagaimana pihak polis boleh melarang daripada petugas memakai baju yang ada lambang parti, itu tidak masuk akal dan SOP tidak pula kata begitu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pay Tiong berkata, perkara lain yang berlaku ialah apabila pihak berkuasa hanya membenarkan tiga orang sahaja untuk melakukan aktiviti memasang bendera dan poster parti untuk berkempen dalam satu-satu masa.

Ujarnya, jumlah kebenaran yang diberikan adalah tidak logik kerana jika hendak memasang sesuatu papan iklan memerlukan tenga kerja lebih dari itu.

Katanya lagi, beliau hairan kerana jentera PH memasang bedera tersebut di kawasan lapang dan bukannya di tempat tertutup yang boleh dijadikan isu.

“Jadi, apakah logiknya untuk mengehadkan hanya tiga orang sahaja yang boleh pacak bendera sedangkan di tapak pembinaan perumahan lebih 100, 200 pekerja boleh berada di sana.

“Tapi, kita nak pacak bendera nak pasang billboard dihadkan kepada tiga orang…ini semua mana logiknya,” katanya.

Menurut Pay Tiong lagi, pihaknya setuju mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang negara masih berada dalam pandemik Covid-19 tetapi perkara yang tidak wajar seperti mengeluarkan arahan sendiri perlu diperjelaskan.

“Saya nak tanya Ketua Polis Melaka,a adakah dia setuju dengan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh anggota pasukannya? Saya nak dia jawab soalan ini, adakah itu juga arahan daripada dia sebab dalam SOP tak sebut pun tentang dua perkara ini,” tambahnya.

Katanya lagi, jika semua itu terus berlaku, kempen yang hendak dijalankan tidak akan berjaya sekaligus menyekat maklumat disalurkan kepada pengundi. – MalaysiaGazette