LONDON – Jurulatih pasukan Liga Scotland Rangers, Steven Gerrard dilantik sebagai Pengurus Aston Villa berkuat kuasa serta-merta.
Bekas bintang tengah Liverpool itu menggantikan Dean Smith yang telah dipecat minggu lalu.
Rekod pencapain terburuk Smith dengan lima kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini telah mendesak pemilik kelab itu memecat jurulatih itu.
Gerrard telah menandatangani kontrak selama tiga tahun setengah bersama Villa bagi mengemudi pasukan itu ke arah pembangunan yang dirancangkan.
Wang pampasan berjumlah antara £3.25-4 juta telah dipersetujui untuk Gerrard dan penolong jurulatihnya Gary McAllister sebelum mereka menyertai Aston Villa.
“Aston Villa kelab yang kaya dengan sejarah dan tradisi dalam bola sepak Inggeris. Saya berasa bangga untuk menjadi ketua jurulatih yang baharu bagi mengemudi pasukan ini (Aston Villa) ke arah kejayaan yang dinginkan.
“Dalam perbualan saya bersama pemilik kelab ini Nassef, Wes dan beberapa ahli Lembaga Pengarah kelab itu, saya dapat merasakan cita-cita mereka untuk membangunkan kelab ini.
“Ia tugas yang agak mencabar tetapi saya bersedia menggalas tanggungjawab ini dan bersedia membantu kejayaan kelab ini dengan mencapai objektifnya.
“Setinggi penghargaan juga dirakamkan kepada semua pihak di Glasgow Rangers yang memberikan peluang untuk saya mengemuddi pasukan berikonik selama ini dan mengecapi kejayaan,” tegasnya.
Gerrard, 41, telah mengemudi Rangers sejak Jun 2018 dan membantu kelab itu menjulang gelaran Perdana Scotland selepas 10 tahun dan gelaran ke-55 dalam sejarah kelab itu.
Villa kini menduduki tangga ke-16 dalam tangga EPL iaitu ketinggalan dua mata untuk memasuki zon penyingkiran selepas 11 perlawanan dalam kempen musim ini.
Gerrard dijangka akan mengemudi perlawanan pertama Villa dalam EPL menentang Brighton pada 20 November ini. – SkySport.com