GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) menggubal undang-undang baharu berkaitan kebersihan dan keselamatan kualiti makanan.
Ia susulan lambakan premis yang diserbu KKM dengan kerjasama PBT menunjukkan ramai pemilik serta pengendali makanan tidak mengamalkan Jaminan Keselamatan Makanan.
Selain ada kes membawa kepada penemuan najis tikus serta lipas yang bermungkinan besar merisikokan pengguna.
Pegawai Penyelidik CAP, S. Ganesan berkata, isu pengendali serta kilang memproses makanan kotor bukan perkara baru dan ia sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Namun sehingga kini masih tiada penyelesaian, katanya,
Kerajaan, menurutnya, perlu tegas berkaitan isu keselamatan kualiti makanan kerana ia boleh menyebabkan pengguna maut sekiranya keracunan yang dialami itu teruk.
Jelas Ganesan, undang-undang baharu perlu digubal memandangkan tindakan kompaun serta tutup premis sementara dilihat tidak memadai.
“Kita lihat ada premis serta restoran makanan masih melakukan kesalahan berulang dan tindakan kompaun serta penutupan selama dua minggu itu tidak memberi impak besar kepada mereka.
“Kita perlu kikis mentaliti pengusaha yang hanya menjaga kebersihan bersifat sementara untuk membolehkan mereka beroperasi semula sebaliknya mereka ini perlu dikenakan tindakan tegas iaitu menarik semula lesen perniagaan.
“Kita tidak boleh bertolak ansur dalam isu kebersihan menyediakan makanan dan tindakan menarik lesen pada premis yang mengulangi kesilapan sama akan pengajaran kepada pengendali makanan yang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri hari ini.
Tambah Ganesan, CAP sering melakukan tinjauan di restoran serta gerai makanan sekitar negeri itu dan hasil pemantauan mereka mendapati kebanyakan pekerja tidak memakai apron selain cuci bahan mentah di atas lantai berhampiran longkang.
“Kejadian sebegini boleh dikatakan sudah menjadi rutin kerana mereka tidak tahu cara pengendali makanan yang betul memandangkan hanya pengusaha atau pemilik premis yang hadir kursus pengendalian makanan KKM manakala pekerja pula hanya perlu tifoid saja.
“Ini juga perlu dititik berat oleh kerajaan untuk mewajibkan semua pemilik serta pekerja premis makanan hadir ke kursus agar mereka tidak boleh memberi alasan tidak tahu peraturan pengendalian makanan yang betul,” katanya.
Mengulas lanjut, Ganesan berkata, selain menggubal undang-undang, kerajaan juga perlu mencipta satu aplikasi yang membolehkan pengguna seluruh negara membuat aduan berhubung kebersihan di premis menjual makanan.
“Melalui aplikasi itu, pengguna boleh memuat naik gambar serta aduan agar pihak berwajib dapat mengambil lanjut.
“Pengguna tidak boleh harap KKM serta Pihak Berkuasa Tempatan semata-mata dalam isu ini, mereka juga perlu main peranan agar hak pengguna tidak diketepikan pengusaha makanan demi meraih keuntungan,” katanya.
MalaysiaGazette semalam melaporkan dua kilang memproses kicap serta roti di daerah Seberang Perai Utara diarahkan tutup susulan penentuan najis tikus serta tahap kebersihan memuaskan.
Sebanyak sembilan kompaun berjumlah RM9,000 dikeluarkan kepada dua pemilik premis itu menerusi Ops Bersih yang dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: