PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan Inisiatif Transformasi Pasar Malam pada hujung bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merica berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan keyakinan rakyat pasca pandemik Covid-19.
Jelas beliau, inisiatif ini melibatkan saringan kesihatan peniaga dan pelanggan, penjarakan fizikal gerai-gerai dan antara penjual dan pelanggan, laluan sehala, penyeragaman pengoperasian pasar malam, di samping menaik taraf kemudahan asas tapak dan peningkatan imej pasar malam.
“Pasca pandemik ini atau disebut sebagai endemik, kita perlu melihat semula (revisit) dan mendaya semula (rejuvenate) segala tindakan, pendekatan serta kaedah kita agar ia lebih bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) 2021, hari ini.
Reezal Merican berkata, pasar malam di Putrajaya akan menjadi lokasi pertama untuk model Inisiatif Transformasi Pasar Malam dilaksanakan sebelum diguna pakai di seluruh negara.
Dalam masa yang sama, kata beliau, kementerian berkenaan akan memperkenalkan Marshal Pasar Malam yang melibatkan pemerkasaan komuniti serta penglibatan Pihat Berkuasa Tempatan (PBT).
Ujar Reezal, ini bagi memastikan perjalanan operasi pasar malam berjalan dengan lancar.
“Sebab pasar malam libatkan orang ramai, kita tidak mahu berlaku kesesakan di pintu masuk atau semasa keluar dari kawasan pasar malam,” katanya.
Reezal dalam majlis yang sama turut memberi pengiktirafan kepada lapan PBT yang cemerlang dalam melaksanakan Program Kesihatan Persekitaran KPKPT pada tahun ini. -MalaysiaGazette