Home Ekonomi Lebihan Imbangan Akaun Semasa mengecil kepada RM11.6 bilion pada suku ketiga

Lebihan Imbangan Akaun Semasa mengecil kepada RM11.6 bilion pada suku ketiga

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) merekodkan lebihan RM11.6 bilion pada suku tahun ketiga 2021 berbanding RM14.4 bilion pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sebahagian besar lebihan akaun semasa Malaysia masih disokong oleh eksport bersih yang lebih tinggi dalam akaun barangan dengan RM41.2 bilion berbanding RM40.7 bilion pada suku sebelumnya.

Jika dibandingkan dengan suku tahun kedua 2021, eksport barangan menurun pada kadar yang lebih perlahan berbanding import yang seterusnya menyumbang kepada eksport bersih yang lebih tinggi pada suku tahun ini.

Eksport merosot 3.1 peratus suku ke suku kepada RM236.6 bilion, terutamanya dalam produk berasaskan elektrik & elektronik (E&E), kimia dan petroleum; sebahagian besarnya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Begitu juga, import barangan turun 3.9 peratus suku ke suku kepada RM195.4 bilion berbanding suku sebelumnya yang menyaksikan trend menurun bagi import barangan perantaraan, modal dan penggunaan terutamanya dari China dan Jepun pada suku tahun ini.

Walau bagaimanapun, lebihan akaun semasa yang mengecil pada suku ini disebabkan oleh defisit yang lebih tinggi dalam akaun pendapatan.

Akaun Pendapatan primer mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM11.3 bilion berbanding RM9.5 bilion pada suku tahun kedua 2021. Ini disumbangkan terutamanya oleh syarikat asing di Malaysia yang memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM26.3 bilion, peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan kangsung.

Syarikat ini kebanyakannya terlibat dalam sektor pembuatan dan kewangan yang mana pendapatan disalurkan terutamanya ke Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, syarikat Malaysia di luar negara memperoleh pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM18 bilion berbanding RM19.3 bilion pada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan lain.

Kebanyakan syarikat ini terletak di Indonesia, Amerika Syarikat dan Singapura, terutamanya terlibat dalam sektor Kewangan dan Perlombongan.

Tambahnya, akaun pendapatan sekunder mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM3.1 bilion berbanding RM1.4 bilion pada suku lepas.

Akaun ini mencatatkan penerimaan yang lebih rendah sebanyak RM4.3 bilion disebabkan oleh penyelesaian lebih rendah yang diterima dari luar negara, manakala bayaran adalah sebanyak RM7.4 bilion.

Mengulas lanjut mengenai statistik Imbangan Pembayaran, Mohd Uzir berkata, pada suku ini perdagangan perkhidmatan bertambah baik selepas mencatatkan peningkatan defisit untuk tujuh suku tahun berturut-turut sejak suku tahun terakhir 2019.

Perkhidmatan mencatatkan defisit sebanyak RM15.2 bilion berbanding RM15.4 bilion pada suku sebelumnya. – MalaysiaGazette