SEJAK kebelakangan ini, isu LGBT hangat diperkatakan oleh masyarakat Malaysia,
lebih-lebih lagi apabila seorang usahawan kosmetik bernama Muhammad Sajjad Kamaruz
Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat telah mengaku dirinya sebagai seorang
transgender.
Nur Sajat merupakan individu buruan pihak berkuasa Malaysia atas pelbagai
kesalahan dan kini berlindung di Australia. Keadaan Nur Sajat sebagai individu transgender tidak disenangi kebanyakan rakyat Malaysia.
Isu-isu yang melibatkan golongan LGBT ini sudah pasti mendapat perhatian daripada pelbagai pihak kerana secara jelas fahaman LGBT ini bertentangan dengan prinsip moraliti di Malaysia.
Namun begitu, golongan LGBT bersama pihak pro LGBT tidak henti-henti memperjuangkan hak kebebasan mereka untuk kekal dengan gaya hidup dan fahaman LGBT mereka.
Perkara ini menimbulkan beberapa persoalan, apakah hak kebebasan golongan LGBT di Malaysia? Adakah hak kebebasan tersebut mampu mengatasi prinsip moraliti di Malaysia?
Di Malaysia, hak kebebasan individu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan
Malaysia.
Namun begitu, terdapat beberapa limitasi dan halangan terhadap hak kebebasan tersebut. Tidak semua perkara bebas untuk dilakukan di Malaysia, sebagai contoh, aktiviti pelacuran adalah diharamkan di Malaysia walaupun beberapa negara luar termasuk negara jiran membenarkan aktiviti pelacuran.
Perkara yang sama juga terpakai bagi hak kebebasan golongan LGBT di Malaysia. Walaupun pelbagai negara barat dan negara serantau telah mengiktiraf hak kebebasan golongan LGBT, Malaysia masih jauh daripada mengiktiraf hal tersebut.
Pelbagai statut di Malaysia khasnya undang-undang Syariah bertentangan dan
menghalang fahaman LGBT ini sebagai contoh Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kesalahan orang lelaki berlagak seperti wanita.
Hal ini semestinya bertentangan dengan kecenderungan golongan LGBT. Di luar negara, jantina ketiga telah dimasukkan dalam data pendaftaran diri. Perkahwinan sejenis juga dibenarkan dan dianggap biasa.
Perkara ini jelas dihalang di Malaysia dan kebebasan tersebut dihalang sepenuhnya. Halangan yang dibuat di Malaysia ini diyakini mempunyai sangkut paut dengan pegangan dan pengaruh moraliti.
Apakah yang dimaksudkan dengan moraliti? Moraliti bermaksud prinsip akhlak atau
kelakuan yang baik. Apabila dikaitkan dengan undang-undang, seorang ahli falsafah barat
yang tersohor, Profesor HLA Hart pernah menyatakan bahawa suatu sistem undang-undang mestilah mempunyai unsur moral sama ada secara zahir atau tersirat.
Berdasarkan kenyataan ini, dapatlah difahami dengan jelas bahawa undang-undang di Malaysia yang menghalang hak kebebasan golongan LGBT ini adalah berasaskan moraliti. Perkara ini juga seiring dengan pendapat ahli Jurispruden Sir Patrick Devlin yang pernah menyatakan bahawa masyarakat berhak menggunakan undang-undang untuk menguatkuasakan moral.
Pendapat ini seiring dengan konsep moraliti dan fahaman di Malaysia yang menganggap LGBT sebagai tidak bermoral. Ini bermakna hak kebebasan golongan LGBT di Malaysia tidak akan dapat mengatasi prinsip moraliti masyarakat umum. Malaysia mempunyai pegangan moraliti tersendiri yang dikayakan dengan nilai ketimuran dan unsur keagamaan. Atas sebab tersebut, Malaysia akan terus menjadi sebuah negara yang meletakkan nilai moraliti sebagai keutamaan dalam isu melibatkan golongan LGBT.
Oleh: Datu Hishamuddin Datu Hasim, Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail
Fakulti undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia