KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan berdepan dengan stagflasi (ekonomi tidak berkembang) meskipun peningkatan inflasi global dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 dijangka berada dalam jajaran antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus.
Bagaimanapun, negara perlu melakukan pembaharuan struktur untuk merangsang ekonomi yang dinamik, merebut peluang pertumbuhan baharu dan mencatatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih kental, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Beliau berkata bank pusat akan terus mengekalkan unjuran KDNK 2022 itu yang akan disokong oleh kelonggaran secara berperingkat atau langkah-langkah pembendungan pandemik, yang akan menyokong lagi penyambungan semula aktiviti ekonomi.
Nor Shamsiah menjelaskan bank pusat tidak melihat sebarang petanda peningkatan harga secara meluas atau tekanan berlebihan apabila tekanan harga dijangka kekal menyederhana pada 2022, didorong oleh kapasiti berbaki dalam ekonomi kita.
“Walaupun sekiranya sesetengah perniagaan memilih untuk menyelaraskan harga mereka dan menawarkan gaji lebih kompetitif untuk menarik pekerja ketika orang ramai mula berbelanja semula, masih ada ruang untuk menambah baik pertumbuhan dan pekerjaan.
“Kita akan sentiasa memantau dengan rapat perkara ini. Saya sebelum ini telah menyatakan bahawa pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh maklumat yang masuk dan implikasi bagi keseluruhan prospek bagi Inflasi dan pertumbuhan domestik,” katanya.
Inflasi keseluruhan Malaysia menyederhana pada 2.3 peratus dan diunjur berada pada purata antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus bagi 2021, manakala inflasi pendasar, seperti yang diukur menerusi inflasi teras, dijangka berada di bawah 1.0 peratus tahun ini.
“Pada 2022, inflasi keseluruhan diunjur kekal sederhana. Memandangkan aktiviti ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat tetapi kekal sederhana memandangkan kapasiti berbaki yang berterusan dalam ekonomi dan pasaran buruh yang perlahan.
“Bagaimanapun, prospek terus bergantung kepada perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berpanjangan,” katanya
Nor Shamsiah berkata pemulihan ekonomi Malaysia akan disokong oleh peningkatan berterusan pasaran buruh dan petunjuk terkini menunjukkan bahawa keadaan semakin bertambah baik meskipun penarikan semula sekatan pergerakan secara berperingkat.
“Bagi Suku Ketiga 2021, tahap pekerjaan meningkat sebanyak 67,500 orang berbanding penurunan 29,200 orang pada suku sebelumnya, manakala kadar pengangguran bertambah baik sedikit kepada 4.7 peratus. Kami menjangka pemulihan sederhana yang berterusan dalam pasaran buruh, yang sejajar dengan kadar vaksinasi tinggi Malaysia dan kemajuan langkah-langkah pembendungan pandemik yang akan memudahkan penyambungan semula aktiviti ekonomi,” katanya.
Sementara itu, mengenai pembaharuan struktur Malaysia, beliau berkata ia memerlukan pembinaan semula penampan dan laluan pertumbuhan yang lebih mampan, terutamanya dalam fasa pemulihan pasca pandemik.
“Pembaharuan menarik pelaburan berkualiti, membina kapasiti inovasi, meningkatkan kekompleksan ekonomi dan mengukuhkan perlindungan sosial dan pelaksanaan efektif disokong oleh mekanisme pemantauan dan penilaian ketat adalah penting dalam memastikan hasil yang disasarkan dapat dicapai dengan jayanya. Mustahak untuk mengetahui bahawa dua tema pertumbuhan baharu adalah kemampanan dan pendigitalan.
“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Bajet 2022 telahpun menggariskan beberapa inisiatif yang akan membantu Malaysia bergerak seiring dengan pertumbuhan ini dan mempercepat pertumbuhan hijau serta amalan mesra alam sekitar ke arah negara neutral karbon seawal 2050.
“Inisiatif utama termasuklah pasaran karbon sukarela, kemudahan peralihan Karbon Rendah dan kajian untuk memperkenalkan penetapan harga karbon, termasuk cukai karbon dan skim sistem dagangan pelepasan karbon untuk meningkatkan kesalinghubungan digital dan usaha penerimagunaannya.
“Pelaksanaan inisiatif utama seperti pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan pengukuhan digital akan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global bagi produk dan perkhidmatan kompleks dan tokokan nilai tinggi. Ini juga akan membantu langkah-langkah untuk menambah baik standard hidup rakyat dan mencapai pertumbuhan seimbang dan mampan,” katanya. – MAlaysiaGazette