Home Politik Najib gesa pengundi Melaka tolak kempen fitnah pembangkang

Najib gesa pengundi Melaka tolak kempen fitnah pembangkang

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Razak ketika ditemui di D'Acqua Villa, Melaka hari ini.

TANJUNG BIDARA – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dicemari dengan penularan berita fitnah khususnya bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) membuktikan pembangkang ketandusan isu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sendiri menjadi mangsa fitnah kepada media sosial pro pembangkang yang cemburu dengan sambutan rakyat terhadap beliau setiap kali turun padang menyantuni rakyat.

“Ini disebabkan mereka tak ada modal, sepatutnya pilihan raya inilah untuk kita menilai dasar dan agenda setiap parti. Saya anggap politik macam ini tiada tempat dalam masyarakat yang nak memperlihatkan amalan demokrasi yang sihat dan matang.

“Iyalah (Najib mangsa) semua jadi mangsa tapi saya lebih sikitlah agaknya, tak apa bila saya turun alhamdulillah dapat sambutan yang begitu baik sekali,” katanya ketika ditemui di D’Acqua Villa, hari ini.

Pada 7 November lalu, Ahli Parlimen Pekan itu menjadi mangsa fitnah apabila beliau dikatakan tidak mendapat sambutan rakyat tempatan ketika turun ke kedai makan bawah pokok di Dak Lin Celup Tepung, Pantai Siring, Merlimau.

Beberapa laman media sosial pro pembangkang mendakwa pemilik kedai terbabit bertindak menutup premisnya sebaik sahaja kedatangan Najib di Pantai Siring.

Dalam pada itu, Najib turut menggesa orang ramai khususnya pengundi Melaka menolak politik fitnah yang diamalkan dan menggunakan taktik kotor untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Pengundi boleh buat perbezaan, pengundi boleh buat kesimpulan, mana yang lebih baik keadaan di mana sebuah negara dan negeri yang mengamalkan demokrasi yang matang.

“Jadi mereka yang menggunakan fitnah ini patut ditolak sepenuhnya oleh pengundi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemilik kedai Pantai Siring nafi tutup kedai ketika Najib sampai