Home Politik PN lancar manifesto PRN Melaka di Shah Alam Ahad ini

PN lancar manifesto PRN Melaka di Shah Alam Ahad ini

Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Hotel dan Resort Glenmarie Shah Alam pada Ahad ini.- Gambar hiasan.

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Hotel dan Resort Glenmarie Shah Alam pada Ahad ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pelancaran manifesto akan dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pelancaran manifesto pada pukul 5 petang Ahad ini merangkumi secara holistik semua pihak tanpa meninggalkan sesiapa pun.

“Kita pastikan semua golongan belia, wanita, warga emas dan segenap segi rakyat tidak tertinggal sebagai satu wadah perjuangan rakyat berbilang kaum,” katanya ketika ditemui di selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Masjid Al Falahin, Alai hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu berkata, kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, parti itu hanya akan bekerjasama dengan Pas tetapi  tidak dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya memenangi PRN Melaka adalah pandangan UMNO.

“Itu hak UMNO untuk tidak menerima Bersatu dan kita pun apabila UMNO tidak mahu Bersatu, Pas kekal terus bersama PN yang mana kita tidak pernah menunggu UMNO untuk bersetuju bersama kita.

“Walaupun pada peringkat awal kita membuka tangan seluasnya tetapi apabila mereka menolak bukan sahaja Bersatu, tetapi parti dalam PN sebab itu kita bertanding semua 28 kerusi.

“Ini memberi isyarat kepada rakyat yang PN ini serius mahu menjadi parti memerintah,”katanya.

Malam tadi, Mohamad ketika berucap di hadapan jentera kempen BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bukit Piatu dekat sini berkata, pihaknya sedia menerima Pas bersama BN sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan namun menolak untuk bersama PPBM.

Sekiranya PPBM maju ‘rujuk’ semula dengan BN, katanya, parti serpihan UMNO itu perlu dibubarkan sebelum diterima UMNO dengan hati yang terbuka.- MalaysiaGazette