Home Politik PRN Melaka: Hee Sem janji rancakkan IKS di Machap Jaya

PRN Melaka: Hee Sem janji rancakkan IKS di Machap Jaya

Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Machap Jaya, Ngwe Hee Sem ketika sidang media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka MITC Hotel, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 12 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Merancakkan industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi salah satu daripada janji calon Barisan Nasional, Ngwe Hee Sem sekiranya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN), Machap Jaya memberi mandat kepadanya menjadi wakil rakyat di kawasan itu

Bapa kepada dua orang anak berusia 53 tahun itu berkata, hasrat itu disematkan pada dirinya dengan tujuan bagi meraikan generasi muda agar mudah mendapat pekerjaan.

Katanya, ketika ini kekurangan peluang pekerjaan telah menyebabkan golongan muda mengambil pendekatan untuk berhijrah ke bandar besar .

“Saya berhasrat untuk merancakkan IKS di kawasan Machap Jaya kerana ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada belia.

“Saya juga mahu memberi tuisyen percuma secara online kepada rakyat di Machap Jaya. Saya dapat idea ini daripada UMNO Bahagian Alor Gajah dalam tempoh pandemik ini. Ia idea yang bagus untuk memberi pendidikan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, beliau turut berhasrat mahu menjadikan kawasan Machap Jaya sebagai sebuah pusat pelancongan yang boleh memberi pulangan kepada penduduk setempat.

Ujarnya, Orang Asli yang tinggal di kawasan itu juga akan diajar cara bagaimana mereka boleh menjana pendapatan daripada aktiviti pelancongan.

“Di Machap Jaya ada tujuh perkampungan Orang Asli. Jadi memang sangat sesuai sekiranya kawasan ini dijadikan sebagai pusat tarikan untuk pelancongan,” katanya yang mempunyai latar belakang sebagai seorang usahawan.

Ketika ditanya mengapa memilih untuk bertanding sebagai ADUN di kawasan itu sedangkan beliau merupaan seorang ahli perniagaan, Hee Sem berkata, memang sudah menjadi tekad pada dirinya untuk membantu orang walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Katanya, ia bermula dari sikap yang ditunjukkan oleh bapanya sejak kecil yang mana amalan menolong orang menjadi salah satu daripada perkara yang tidak pernah diabaikan.

“Kalau di kampung ada orang memerlukan sesuatu dia (bapanya) tidak pernah mengabaikan orang yang meminta pertolongan itu.

“Jadi saya sudah tahu perkara ini (menolong orang) sejak dari kecil dan ia merupakan pengaruh daripada ayah saya,” tambahnya. – MalaysiaGazette