KUANTAN – Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, pelajar Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) mengadakan pelbagai aktiviti bagi menjadikan mereka insan celik al-Quran.
Guru Besar TTNP, Siti Zuraida Mohd Yusuf berkata, sempena sambutan itu, seramai 60 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun menyertai Majlis Ihtifal bagi menambah keyakinan mereka terhadap ilmu al-Quran.
Tambahnya, acara yang mengumpulkan pelajar itu juga memberi ruang mencari bakat hafazan, tilawah al-Quran dan laungan azan untuk dipertandingan ke tujuh cawangan yang lebih besar.
“Alhamdulillah, anak-anak sangat seronok ke sekolah apabila pembelajaran bersemuka lebih teratur dan majlis ini meraikan kehadiran mereka ke sekolah dan sempena sambutan ini dapat menambahkan semangat mereka.
“Pendedahan sebegini agak sukar tapi sebagai guru kita kena memberi keyakinan kepada anak-anak sekecil umur empat tahun dan didikan perlu dari awal untuk cintai al-Quran,” katanya ketika ditemui ketika sesi saringan pertandingan melaungkan azan bagi pelajar berumur empat tahun pagi tadi di Indera Mahkota hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang (YP), Abd Razak Abu Musa Saari ketika dihubungi berkata, YP menyediakan akses pendidikan tahfiz dan kini berkembang melalui 12 cawangannya di seluruh negeri.
“Sasaran TTNP menjadikan pelajar seawall empat hingga enam tahun mampu khatam membaca al-Quran dan menghafaz juzuk amma.
“Manakala pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun diserap di Sekolah Tahfiz pula dapat khatam menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya.
TTNP mula diperkenalkan pada tahun 2018 di Pekan dan telah diwujudkan untuk menyediakan akses pendidikan tahfiz di peringkat pra sekolah dan tadika.
Sehingga kini, TTNP telah diperluaskan di empat empat daerah di Pahang iaitu di Kuantan, Temerloh, Raub dan Kuala Lipis.- MalaysiaGazette