Home Nasional Kastam rampas minuman keras bernilai RM22.25 juta

Kastam rampas minuman keras bernilai RM22.25 juta

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah (tengah) menunjukkan minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM21 juta yang berjaya dirampas oleh anggota Kastam di Wisma Kastam Pulau Indah, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras bernilai RM22.25 juta termasuk cukai menerusi serbuan di beberapa buah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Serbuan secara berasingan itu dijalankan di antara 21 September sehingga 8 November lalu oleh sepasukan penguatkuasa dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, menerusi rampasan pertama, anggota penguat kuasa telah menahan tiga buah kontena yang membawa sebanyak 31,545 liter minuman keras bernilai RM1.6 juta.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas semua kontena berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai belum diluluskan oleh JKDM.

 

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah (tengah) menunjukkan minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM21 juta yang berjaya dirampas oleh anggota Kastam di Wisma Kastam Pulau Indah, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2021.

“Kes kedua membabitkan rampasan sebanyak 494,373 liter minuman keras dengan nilai termasuk cukai dianggarkan RM18.5 juta.

“Manakala menerusi serbuan ketiga, JKDM berjaya merampas sebanyak 101,592 liter minuman keras. Hasil semakan daripada rekod pengimportan, pihak syarikat telah mengikrar enam buah kontena bermuatan minuman keras namun pemilik lesen telah gagal untuk membuktikan keberadaan dagangan yang diimport,” katanya menerusi sidang media di Wisma Kastam, Pulau Indah hari ini.

Jelas Abdul Wahabi, minuman keras diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Mengimport) 2017.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Zon Bebas 1990. – MalaysiaGazette