Home PRN Melaka Kempen PRN Melaka hambar, tiada parti nampak garang – Penganalisis

Kempen PRN Melaka hambar, tiada parti nampak garang – Penganalisis

Prof Dr.Sivamurugan Pandian, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM) di Studio Malaysia Gazette, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula sejak 8 November lalu sehingga ke hari ini masih hambar.

Suasanan kempen tidak menampakkan mana-mana parti menunjukkan ‘kegarangan’ masing-masing, kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Sivamurugan Pandian.

Walaupun alasan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai luar biasa, kehambaran kempen sepatutnya tidak berlaku.

“Kita boleh lihat sebelum tarikh rasmi berkempen ini, sebenarnya parti boleh berkempen namun hingga kini percaya atau tidak ada pengundi yang tidak mengenali siapa calon bertanding di kawasan mereka.

“Ini signal tidak baik dan seharusnya untuk minggu kedua ini perkara ini sudah ditangani oleh kesemua parti,” katanya dalam program Melaka Memilih terbitan MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bendera Parti Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang dipasang di bahu jalan raya bagi menghangatkan lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Ayer Keroh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2021.

Sivamurugan berkata, PRN Melaka lebih dilihat seolah-olah berlaku boikot dalam kalangan pengundi.

“Isu boikot ini tak patut berlaku. Ini pilihan raya yang menentukan kerajaan negeri yang kan mentadbir untuk tempoh lima tahun mendatang.

“Mandat yang diberikan kepada rakyat harus dilaksanakan dan inilah cabaran yang saya lihat kepada semua calon dan parti bagi memastikan pengundi di luar Melaka pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, jika parti dan calon hanya membiarkan peratusan yang akan turun mengundi akan terus menurun.

“Ini trend yang tidak baik tetapi jika kita melihat kepada pengundi pula, mengapa mereka bersikap demikian? Ini kerana sesetengah pemimpin politik hari ini yang telah menjadikan perkara ini berlaku.

“Pertelingkahan dalam politik membuatkan rakyat jadi bosan dan muak. Jadi dalam tempoh beberapa hari ini, ia perlu ditangani segera,” jelasnya.

Temubual khas bersama Prof Dr.Sivamurugan Pandian, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM) di Studio Malaysia Gazette, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 NOVEMBER 2021.

Ditanya parti mana yang mendominasi PRN Melaka ini, Sivamurugan berkata, ia tidak berlaku.

“Sepanjang beberapa hari saya di sini, saya tidak nampak mana-mana parti yang mampu membawakan ideologi atau isu-isu yang boleh terus kepada jiwa pengundi.

“PRN kali ini begitu luar biasa bagi saya kerana tidak wujud isu-isu seperti ‘membahan’ calon lain, fitnah memfitnah dan semua berita yang tersiar di media-media sosial lebih menjurus kepada yang positif.

“Apakah ini menunjukkan kematangan berpolitik dalam kalangan mereka memandangkan 86 peratus adalah wajah baharu yang diketengahkan.

“Mungkin mereka menggunakan pendekatakan lebih positif dan itu dianggap sebagai memenangkan hati pengundi,” katanya.

Sivamurugan berpandangan, isu nasional yang dibawa juga memperlihatkan tiada kesungguhan calon dan parti untuk ‘menjual diri’ mereka dalam konteks perkenalan sebagai bakal wakil rakyat.

“Kita boleh melihat sebagai contoh, setiap gegantung wajah calon akan disertai wajah pemimpin nasional. Walaupun ini bukan isu baharu kerana pada 2013, Datuk Seri Najib (Razak) pernah menggunakan wajahnya untuk membantu kempen di Pulau Pinang.

“Tetapi pada masa hari ini, apakah teknik itu masih relevan? Mungkin ada yang berkata ia, jadi terpulang kepada strategi parti masing-masing,” jelasnya.

Beliau berharap dalam beberapa hari sebelum proses membuang undi, kesemua 112 calon yang merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka akan lebih meriah dengan sambutan masyarakat walaupun dalam keadaan norma baharu.

PRN Melaka diadakan setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri telah berlaku pada 4 Oktober lalu dan SPR menetapkan tarikh PRN Melaka akan diadakan pada 20 November 2021.

Seramai 495,196 pengundi akan membuang undi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN Melaka adalah 70 peratus.

Pemilih juga membabitkan 482,550 pengundi biasa; 10,191 anggota tentera dan pasangan; 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. – MalaysiaGazette