Home Sukan Kes Covid-19 meningkat, penggiat sukan kena patuh SOP

Kes Covid-19 meningkat, penggiat sukan kena patuh SOP

Antara aksi pemain selepas Kiara Skatepark dibuka semula kepada orang awam dengan satu tempoh percubaan bermula pada 1 November lalu dengan meletakkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengingatkan penggiat industri sukan supaya lebih berwaspada berikutan bilangan kes baharu Covid-19 yang semakin meningkat.

Timbalan menterinya, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sekiranya  alpa dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak mustahil mereka menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kes baharu.

“Saya sarankan kepada penggiat sukan supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan berwaspada, kalau boleh kita tidak mahu apa-apa kluster dari aktiviti sukan supaya kegiatan ini dapat diteruskan dengan lebih rancak lagi.

“Kalau ada kluster sebab kita tidak bertanggungjawab jadi itu lah yang akan menjadi satu masalah nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Semula Kiara Skate Park di sini hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (kanan) melakukan gimik perasmian Majlis Pelancaran Semula Kiara Skatepark di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2021.

Terdahulu pada majlis tersebut, seramai 75 orang pemain papan selaju dan BMX terlibat dalam slot masa eksklusif dan pertandingan kemahiran.

Antara acara menarik yang dipertontonkan semasa pelancaran semula itu adalah Skate Demo oleh U Mobile Skate Jam Team, Vans Skate dan BMX Pro Teams.

Mengulas lanjut mengenai pembukaan semula Kiara Skate Park, Lian Ker berkata, lebih banyak pertandingan membabitkan sukan ekstrem dapat dianjurkan selepas di samping menggilap lebih ramai bakat baharu membabitkan kalangan anak muda yang berpotensi.

“Pada ketika ini, KBS menerusi Impact Integrated sedang meneroka peluang untuk bekerjasama dengan persatuan-persatuan sukan yang berkaitan dalam agenda melestarikan aset dan kemudahan yang ada di samping melibatkan pemimpin komuniti dan kumpulan minat khusus dalam sukan lasak.

“Ia bagi mengoptimumkan penggunaan dan memberikan manfaat langsung kepada komuniti, seiring dengan aspirasi KBS untuk memastikan tiada sukan yang ketinggalan dalam arus pembangunan industri sukan negara,” ujarnya.

Kiara Skate Park kini sedia menerima pengunjung dengan kapasiti maksimum seramai 30 orang bagi setiap sesi selama dua jam setengah bermula esok.

Fasiliti itu akan dibuka kepada pengguna secara percuma sepanjang waktu operasi iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 7 malam setiap hari tertakluk kepada pindaan.

Buat masa ini, tempahan slot boleh dilakukan dengan menghantar emel anda ke [email protected] sehinggalah sistem tempahan baharu diperkenalkan. – MalaysiaGazette