AYER KEROH – Masuk hari ke enam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun sebahagian penduduk di negeri ini masih belum mengenali calon-calon yang bertanding pada 20 November ini.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, rata-rata penduduk yang berusia warga emas sebenarnya tidak mengenali calon memandangkan mereka tidak mengikuti rentak kempen melalui medium media sosial berbanding pengundi bawah 50 tahun.
Salah seorang daripadanya, Kazul Ismail, 60, mengakui tidak mengenali kesemua calon-calon PRN Melaka.
“Sini (Ayer Keroh) saya tahu DAP sahaja yang memerintah dahulu. Calon yang lain saya tak tahu pula.
“Yang saya tahu, siapa yang baik saya akan pilih. Kalau dia tak buat kerja, siapa nak pilih? Setakat duduk goyang kaki, tak payah, kirim salam sahaja,” tambahnya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau juga berpendapat tidak ramai rakyat yang akan keluar mengundi ekoran risau penularan Covid-19 seperti ketika PRN Sabah tempohari.
Dalam pada itu, seorang lagi pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad, 60, meluahkan perasaan keliru untuk membuat pilihan calon.
“Tak tahu nak pilih mana satu? Sini (parti) pun masalah, sana (parti) pun bermasalah. Tentang pilihan calon, saya keliru sikit lah,” ulasnya jujur.
Meskipun belum dapat membuat pilihan, Mohamad akan membuat keputusan pada saat-saat akhir sebelum mengundi kelak.
Namun, seorang lagi pengundi, Tan Siew Fei, 50-an, bagaimanapun sudah membuat keputusan berkenaan calon pilihan hatinya.
“Dalam hati saya sudah tahu, cukup. Saya tak boleh cakap siapa yang akan saya undi,” tambahnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Ini memaksa kesemua 112 calon daripada parti-parti yang bertanding menjalankan kaedah kempen melalui media sosial dan pelbagai kaedah kreatif lain.- MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN: