JOHOR BAHRU – Taktik sebuah pusat hiburan di Taman Molek di sini menutup pintu depan dan belakang premis untuk mengaburi mata pihak berkuasa nampaknya tidak berkesan.
Ini kerana ia diserbu dalam serbuan dan polis menahan 55 individu berada dalam premis tersebut.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, serbuan itu dijalankan melalui Op Patuh dan Op Noda.
Menurutnya, hasil pemerhatian pihak polis, hanya individu tertentu sahaja dibenarkan masuk ke premis berkenaan selain pelanggan kena meletakkan kenderaan di belakang bangunan untuk menunjukkan premis tersebut seolah-olah tidak beroperasi.
“Kita periksa bahagian belakang dan ketuk pintu untuk dibuka tetapi diabaikan dan kita dengar bunyi yang sangat kuat daripada dalam dan ada aktiviti hiburan yang sedang berlangsung.
“Apabila pihak polis berjaya masuk ke dalam kita mendapati seramai 55 orang berada di dalam premis ini yang mana satu penjaga, empat pekerja dan selebihnya pelanggan membabitkan 32 lelaki dan 18 wanita termasuk salah seorang pelanggan juga merupakan individu yang dikehendaki dalam kes penipuan di Bukit Mertajam pada tahun lalu yang berumur 30-an,” katanya kepada media ketika ditemui selepas serbuan itu di Taman Molek di sini malam tadi.
Sohaimi berkata, sebanyak RM296,000 kompaun telah dikeluarkan dan mendapati salah seorang pelanggan juga gagal menunjukkan imbasan kod MySejahtera.
“Tindakan yang diambil adalah kompaun sebanyak RM25,000 ke atas penjaga premis manakala pelanggan dan pekerja RM5,000 seorang dan individu yang gagal mengimbas MySejahtera pula tambah lagi RM1,500,” katanya.
Kesemua yang ditahan merupakan lelaki dan perempuan warga tempatan dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk tindakan selanjutnya.
Pihak polis tegas Sohaimi lagi, tidak akan berkompromi kepada mana-mana individu atau pengusaha pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Jika kita lihat sekarang ini pusat hiburan memang tidak dibenarkan beroperasi. Kebanyakkan premis pusat hiburan yang ingkar ini mereka mengambil kesempatan dengan menutup kesemua pintu masuk dan merahsiakan dari orang lain dan hanya mereka tertentu dibenarkan masuk,” katanya.
Operasi bermula kira-kira 10.30 malam itu berakhir pukul 12. 30 pagi melibatkan dua pegawai dan 10 anggota dari Balai Seri Alam.- MalaysiaGazette