KUALA LUMPUR – Kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membolehkan rakyat menikmati kelonggaran dalam sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat setelah tahap vaksinasi golongan dewasa mencapai 95.1 peratus sehingga semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama erat semua pihak termasuk antara kerajaan dan rakyat juga telah memungkinkan perhimpunan seperti Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 ini diadakan.
Menurut beliau, berbanding dengan tahun lepas, perayaan Deepavali tahun ini disambut lebih meriah dalam suasana norma baharu.
“Ramai juga yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober lalu.
“Syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan, kepercayaan dan keyakinan penuh mereka kepada kerajaan untuk memulihkan negara dalam masa yang sangat mencabar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena MRTM Deepavali 2021 di Pusat Pelancogan Malaysia (Matic), Jalan Ampang di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran.
Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, dalam kegembiraan menyambut perayaan, rakyat harus terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak sesekali bersikap sambil lewa atau memandang enteng terhadap ancaman Covid-19.
“Jika kita lalai, pandemik ini akan terus membelenggu dan menyekat kebebasan kita,” katanya. – MalaysiaGazette