Home Politik Saya masih tunggu respon Noor Azman untuk berdebat – Cikgu Ali

Saya masih tunggu respon Noor Azman untuk berdebat – Cikgu Ali

Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

MELAKA – “Jika berfakta dan mempunyai asas dalam mengeluarkan kenyataan berapi-api mengelirukan umum tetapi apabila diajak berdebat membuktikan kebenaran itu, hilang pula dari radar. Apa maknanya?

Itu persoalan Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad susulan cabarannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan yang juga merupakan ahli UMNO yang baru-baru dipecat.

Menurut Mohamad Ali yang senang di saya sebagai Cikgu Ali itu, beliau cukup kecewa dengan tindak tanduk Nor Azman itu.

Sebelum itu, Nor Azman mendakwa wujud politik ‘pancung-memancung’ pada peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tangga Batu dan menganggap dirinya aset kepada UMNO satu masa dahulu juga menjadi mangsa.

Cikgu Ali yang juga calon kerusi DUN Sungai Udang berpandangan tindak tanduk Nor Azman sebenarnya lebih kepada mengelirukan ahli-ahli UMNO terutamanya di Tangga Batu selain pengundi secara keseluruhannya.

“Dia (Nor Azman) bukan lagi ahli UMNO, jadi kenapa cakap seperti ini? Apa sebenarnya motif dia?

“Kerana itu saya minta dia berdebat dengan saya, sekurang-kurangnya kebenaran itu akan keluar juga. Saya adalah Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, pastinya sehingga akhir saya akan pertahankan bahagian dan ahli daripada tohmahan mahupun fitnah hanya kerana agenda peribadi.

“Kita berlapang dada dalam menerima kritikan tetapi janganlah cakap tanpa fakta, kita sendiri tahu apa niat untuk cakap-cakap seperti ini, saya sudah tunggu berhari-hari ini, mengapa tidak tampil terima ajakan debat saya? Umum boleh tafsir sendiri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu merangkap calon PRN Melaka bagi kerusi Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad,

Sebelum pembubaran DUN Melaka, UMNO telah menggugurkan keahlian dua ahlinya iaitu mantan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan Nor Azman kerana mendakwa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka baru-baru ini.

Dalam pada itu, Cikgu Ali yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara mahu Nor Azman sedar diri dan berterima kasih kerana UMNO  yang merealisasikan kedudukannya sebagai wakil rakyat sebelum ini.

“UMNO yang bantu kamu jadi apa yang kamu dapat dengan memburukan UMNO yang ahlinya juga jentera yang bantu kamu naik sebelum ini? Tolonglah, berterima kasih sedikit,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangan buat tuduhan, Cikgu Ali cabar Nor Azman berdebat