KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)
melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama
Persatuan Pekerja Seni Dan Warisan Anak-Anak Kelantan menganjurkan Program
Merakyatkan Seni Budaya Pengkalan Datu, baru-baru ini.
Program itu sempena lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri ke Kelantan selama dua hari.
Dalam program yang berlangsung di Pasar Terapung Resort Cerana Villa ini, Nancy turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM85,000 kepada 31 penerima individu dan kumpulan yang terdiri kalangan penggiat seni budaya di Kelantan.
Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, sumbangan yang diberikan diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada penggiat seni di negeri itu untuk kembali aktif berkarya setelah hampir dua tahun tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti seni budaya secara fizikal akibat wabak Covid-19 yang melanda negara.
Tambah beliau, Kelantan amat bertuah kerana memiliki pelbagai kesenian tradisional
yang unik dan masih diteruskan seperti makyung, wayang kulit, menora, gasing uri dan
wau bulan.
“Saya amat berharap, semua pihak termasuk penggiat seni dan komuniti setempat
dapat memainkan peranan membantu Kementerian dan JKKN dalam memulihara dan
mengembangkan seni budaya warisan nenek moyang ini.
“Generasi muda juga boleh membantu dalam mempromosikan seni budaya Kelantan kepada masyarakat antarabangsa dengan memanfaatkan media sosial dan kemahiran digital,” katanya dalam satu kenyataan JKKKN di sini hari ini.
Nancy turut memuji usaha yang dibuat oleh pihak pengurusan Pasar Terapung Cerana
Villa Kota Pengkalan Datu yang telah bekerjasama dengan komuniti setempat dan
jabatan kerajaan bagi menghidupkan destinasi tumpuan pelancongan yang bukan
sahaja menawarkan kemudahan penginapan dan makan minum, bahkan menjadikan
aktiviti seni budaya masyarakat setempat sebagai faktor tarikan pelancong.
Sementara itu, Program Merakyatkan Seni Budaya ini antara lain melibatkan pengisian
acara sambutan Rebana Ubi dan Kertok serta diserikan dengan persembahan
nyanyian, silat tari dan dikir barat oleh penggiat seni budaya Kelantan yang
diselaraskan oleh JKKN Kelantan.
Maklumat lanjut mengenai Program Merakyatkan Seni Budaya, orang ramai boleh
layari laman sesawang www.jkkn.gov.my atau laman sosial
www.facebook.com/mysenibudaya dan www.facebook.com/jkknkelantan. – MalaysiaGazette