Home Nasional Dua lelaki menyamar polis, samun ditahan

Dua lelaki menyamar polis, samun ditahan

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

TANAH MERAH – Polis menahan dua lelaki pada Jumaat lepas dan semalam yang dipercayai terlibat dalam tujuh kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Zainuddin Md Yusuf berkata, kedua-duanya yang berumur 22 dan 38 tahun ditahan pada 7.15 malam di Taman Kota Harmoni dan 5.30 petang di sebuah bengkel di Jalan Wan Ahmad, di sini.

“Selain penahanan lelaki berumur 22 tahun di Taman Kota Harmoni itu, polis turut menahan seorang lelaki berumur 38 tahun bersama-samanya namun hasil soal siasat, lelaki itu tidak terlibat samun dan mengaku hanya menemani untuk menjual dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata, penahanan dibuat susulan pihaknya menerima aduan berkaitan samun oleh seorang pengadu yang dipercayai melibatkan kedua-dua suspek di tepi Jalan Lawang, Kampung Batu Jong, Batu Gajah, di sini pada 6.15 petang, Khamis lepas.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga BLM mengaku mereka anggota polis dan menahan pengadu yang menunggang motosikal supaya menyerahkan kesemua barang untuk diperiksa kerana disyaki pengedar dadah.

“Pengadu yang diugut akan ditahan sekiranya tidak menyerahkan barang-barang miliknya terpaksa menyerahkan barang itu yang merangkumi beg silang, dompet duit serta dua telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,350 dan kemudian datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Zainuddin berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek, polis merampas beberapa barangan termasuk kereta Proton Saga itu, 4,000 biji pil kuda, lima telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg silang, dua topeng muka serta wang tunai berjumlah RM1,752.

Beliau berkata, siasatan terhadap kedua-dua lelaki itu, mereka mengaku terlibat dalam tujuh kes samun membabitkan empat kes terhadap warga asing di rumah kongsi, dua kes ke atas penunggang motosikal dan satu kes membabitkan kedai runcit.

Katanya, hasil ujian saringan mendapati kedua-duanya positif terhadap dadah dan sedang direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama