Home Dunia Kualiti udara teruk, pejabat kerajaan dan sekolah di New Delhi ditutup seminggu

Kualiti udara teruk, pejabat kerajaan dan sekolah di New Delhi ditutup seminggu

Tahap pemandangan di Teen Murti Marg,New Delhi , India yang diselubungi jerebu. foto Hindustan Times

NEW DELHI- Semua sekolah akan ditutup di ibu negara India, New Delhi selama seminggu berikutan tahap pencemaran udara semasa yang teruk, kata Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal.

Sekolah-sekolah itu akan ditutup berkuat kuasa hari Isnin, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tergempar sambil menambah pegawai kerajaan akan bekerja dari rumah selama seminggu.

Susulan arahan terbaharu itu, kakitangan sektor swasta juga dinasihatkan mengikutinya.

Ketua menteri berkata, kerajaannya sedang mengusahakan cadangan untuk berkurung di New Delhi.

“(Saya) akan membentangkan rancangan itu kepada Mahkamah Agung,” kata Kejriwal.

Aktiviti pembinaan akan dilarang di ibu negara mulai 14 hingga 17 November, kata ketua menteri itu.

Menurutnya, tahap pencemaran semakin meningkat di New Delhi “akibat pembakaran di negeri-negeri jiran” dan menyeru semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama memeranginya.

Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat (CPCB) pada hari Jumaat menasihatkan pejabat kerajaan dan swasta di New Delhi untuk mengurangkan penggunaan kenderaan mereka sekurang-kurangnya 30 peratus.

CPCB mengeluarkan nasihat menggesa orang ramai mengehadkan aktiviti luar mereka dan meminimumkan pendedahan mereka kepada udara di bandar.

New Delhi merekodkan paras indeks kualiti udara terburuk musim ini pada Jumaat dengan purata 24 jam sebanyak 471, menurut laporan media.

Indeks kualiti udara di ibu negara kekal dalam kategori “teruk” pada pagi Sabtu, dengan AQI direkodkan pada 473. – Xinhua