Home Nasional Bayi 10 bulan terkunci dalam kereta

Bayi 10 bulan terkunci dalam kereta

Bayi
Bayi berusia 10 bulan berjaya dikeluarkan selepas terkunci di dalam kereta.

MELAKA – Seorang ibu berdepan detik cemas apabila bayi perempuannya berusia 10 bulan terkunci di dalam kereta di Taman Sri Pelangi, di sini, hari ini.

Bayi tersebut bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Nazri Mat Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.54 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi didapati seorang bayi perempuan berusia 10 bulan terkunci di dalam kereta jenis Proton Saga.

“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dalam masa kurang 10 minit dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila fungsi sistem kunci ‘auto lock’ kenderaan tersebut tiba-tiba berfungsi dengan sendiri. – MalaysiaGazette