AYER KEROH – Pengalaman lebih 21 tahun dalam urusan pentadbiran merupakan kelebihan kepada Datuk Hasnoor Husin untuk dipilih sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.
Calon Barisan Nasional (BN) itu mempunyai visi dan misi yang jelas membangunkan Bukit Katil agar menjadi sebuah bandar yang urban meskipun terletak di luar bandar.
Menerusi pengalaman yang ada, beliau sudah pasti tidak kekok untuk mengurus tadbir kawasan DUN sekaligus mampu memberikan kerjasama baik terhadap kerajaan negeri baharu yang bakal dibentuk.
Menceritakan pengalamannya, Hasnoor berkata, sekiranya diberi mandat, menguruskan DUN tidak menjadi masalah kepadanya.
Ini kerana, beliau pernah memegang jawatan-jawatan penting sama ada dalam kerajaan negeri mahu pun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai ramai kakitangan dan semua itu dapat diurus dengan baik.
“Saya pernah berkhidmat hampir di seluruh agensi kerajaan di Melaka umpamanya saya pernah jadi Pengerusi Syarikat Air Melaka, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam, saya pegang jawatan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Trade Melacca Centre dan menguruskan penjawat awam.
“Jadi, saya dah cover semua pentadbiran dan boleh dijadikan rujukan kepada yang lain (calon yang bakal bergelar Yang Berhormat) untuk mentadbir kerajaan.
“Saya boleh menyumbang idea dan pengalaman berbanding mereka yang baharu dan belum ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semalam.
Mengulas mengenai gerak kerja selepas enam hari berkempen, Hasnoor berpuas hati dengan gerak kerja yang dilakukan oleh jentera parti.
Semua petugas menjalankan tanggungjawab dengan baik dan beliau tidak keseorangan dalam perjuangan.
Sepanjang berkempen beliau tidak menggunakan sebarang serangan terhadap pencabarnya sama ada melibatkan parti mahupun individu.
“Orang lain nak buat saya tak tahu…tapi saya ingatkan jentera jangan buat begitu…saya juga takkan buat seperti itu,” ujarnya.
Ditanya mengenai pandangannya berhubung kempen yang melibatkan isu perkauman, Hasnoor berkata, perkara itu perlu dilihat dari sudut realiti.
Dengan memberikan contoh parti Parti Amanah Negara (PAN) yang ditubuhkan oleh DAP merupakan sebuah parti cauvinis, Hasnoor menegaskan, perkara itu bukanlah satu fitnah sebaliknya ramai yang tahu .
Disebabkan itu, parti tersebut mempunyai falsafah yang ingin ditegakkan dan akhirnya parti Amanah terpaksa akur dengan kemahuan serta kehendak DAP dan itu merupakan prinsipnya.
“Jika Amanah jadi ketua menteri tapi dia adalah terdiri dari kumpulan minoriti dan kalau ini terjadi saya tegur tak berdosa sebab ini adalah fakta.
“Tapi, serangan ini juga saya tak buat sebab kita nak mengadap Allah SWT..,janganlah kita nak berparti sampai kita nak buat fitnah sebab fitnah itu lebih buruk daripada orang yang membunuh.
“Jadi, saya bercakap apa yang nak saya buat apa agenda saya dan bagaimana nak memperkukuhkan parti. Soal bagaimana nak gunakan serangan peribadi biarlah orang lain buat, hari ini rakyat lebih bijak,” tambahnya. – MalaysiaGazette