MELAKA – Pesanan ibu menjadi sumber inspirasi kepada Muhamad Danish Zainudin.
Calon N.15 DUN Pengkalan Batu daripada DAP itu akan menjadikannya pegangan sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Calon muda Pakatan Harapan yang berusia 25 tahun itu berkata, setiap kali memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat, nasihat ibunya sentiasa menjadi prinsipnya.
“Ibu saya berpesan, jadilah manusia yang berwibawa dan jangan pernah berhenti berkhidmat untuk masyarakat,” katanya dalam satu klip video pengenalan diri menerusi Facebook pagi ini.
Tambah Danish, beliau sentiasa membayangkan sosok tubuh ibunya setiap kali turun padang membantu masyarakat kerana ia merupakan kekuatan buatnya.
Sementara itu, Muhamad Danish turut berpesan kepada pengundi untuk sentiasa jujur, amalkan nilai keprihatinan dan teguh dengan pendirian supaya dapat menuju masa depan yang lebih baik.
“Di saat kita mengalami kesulitan, kita harungi bersama. Hidup ini sama-sama kita saling membantu, saling berbudi agar masyarakat menjadi lebih harmoni.
“Setiap suara akan menentukan masa depan kita semua, ingatlah untuk sentiasa jujur dan berpegang teguh kecintaan kita semua pada negeri ini dalam menuju masa depan lebih baik demi kepentingan semua,” katanya lagi.
Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu pada PRN Melaka pada 20 November ini menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Calon-calon tersebut adalah Datuk Kalsom Nordin (BN), Muhammad Danish Zainuddin (PH), Mohd Aluwi Sari (Putra), Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Azrudin Idris (PN). – MalaysiaGazette