Saudara pengarang,
Apabila Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan media baru-baru ini tentang keputusan untuk menukar kereta rasmi menteri daripada Proton Perdana ke Toyota Vellfire, banyak kritikan diterima khususnya dari pihak pembangkang.
Mereka memberi pelbagai komen dan menyindir kerajaan kerana berjaya menjimat RM2.80 dan bahawa ia tidak masuk akal.
Tetapi fakta ialah fakta. Sewa bulanan untuk Vellfire ialah RM4,851.61 manakala Proton Perdana 2.4 Premium pula ialah RM4,854.21. Ini tidak boleh dinafikan.
Mereka juga mengkritik dan tanya kenapa kerajaan tidak mahu pakai kereta nasional kita sendiri.
Pada pendapat saya, apakah perlu untuk pihak pembangkang mempropagandakan hal ini walaupun kerajaan baru membentangkan bajet yang terbesar dalam sejarah negara – RM332.1 bilion?
Kita kini masih berusaha untuk memulihkan ekonomi negara daripada kesan pandemik Covid-19 ini. Kenapa tidak memperincikan Bajet RM332.1 billion ini tetapi memilih jadikan isu RM2.80 sebagai bahan sindiran?
Bukankah isu segelintir rakyat yang menolak dos booster Covid-19 atau masalah golongan B40 yang terjejas teruk oleh pandemik lebih penting? Mungkin mereka cuba menggunakan isu Vellfire ini untuk kempen politik mereka dalam Pilihan Raya negeri Melaka dan Sarawak.
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah menolak cadangan penukaran kereta menteri-menteri pada Januari 2020. Kita perlu ingat bahawa ini berlaku dua pentadbiran yang lepas dan dua tahun telah berlalu sejak itu.
Jika kita melihat dari segi konsumer atau pengguna yang bijak, adakah masuk akal untuk terus menggunakan sesuatu peralatan yang makin lusuh dan menolak peralatan yang baru – lebih-lebih lagi jika kosnya adalah sama?
Jelas sekali, mereka juga sudah lupa yang Proton Perdana sudah ditamatkan pengeluaran bermakna ia adalah model kenderaan yang dianggap sudah lupus.
Kita perlu ingat bagi mereka yang berada dalam sayap eksekutif kerajaan, bukanlah satu perkara yang luar biasa untuk menggunakan kereta bukan nasional.
Di Kelantan, ahli Exco kerajaan negeri menggunakan Mercedes Benz. Ketua Menteri Pulau Pinang pula mendapat Mercedes S560e yang bernilai RM458,000 pada Januari tahun ini. Semua Exco mereka juga mendapat Toyota Camry.
Tak dengar pun sesiapa yang bising sebelum ini? Maka, adalah amat hipokrit untuk mereka sekarang membicarakan tentang maruah negara.
Kita pun tahu bahawa Proton bukan lagi 100% milik Malaysia setelah Geely dari China mengambil alih pegangan yang besar dalam syarikat itu. Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempelopori idea Proton juga telah mengakui hal ini.
Jadi apa hal dengan maruah negara ini?
Kita juga mesti ingat bahawa menteri-menteri kita patut diberi penghormatan yang sepatutnya. Suka atau tidak, mereka masih menjadi muka negara apabila berurusan dengan rakyat atau pemimpin negara lain.
Ada yang telah mencadangkan mereka menggunakan basikal atau pengangkutan awam tetapi ia bukanlah sesuatu yang praktikal.
Sebagai menteri, isu keselamatan dan imej penting untuk seorang menteri, bukan sahaja di Malaysia tetapi di semua negara. Mereka perlu berada di pelbagai tempat and kadang-kadang mereka hanya dapat berehat di dalam kereta apabila bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Bukan menteri sahaja akan menaiki Vellfire ini. Ramai juga akan kerap turut serta seperti penjawat awam yang mengiring, pegawai keselamatan, dan mungkin juga wakil negara lain.
Vellfire ini bukanlah sama kelas mewah seperti Porsche atau Maserati, yang boleh dikatakan melampau jika dipilih sebagai kereta menteri kita.
Ia juga bukanlah satu kereta yang jarang dimiliki kerana Vellfire sering dapat dilihat di jalanraya kita.
Cuba gunakan masa yang ada untuk isu yang lebih penting dan yang membawa berkat kepada rakyat.
Johan Megat Zabidi
Segambut, Kuala Lumpur