Home Nasional Pemandu disaman guna nombor ‘fancy’

Pemandu disaman guna nombor ‘fancy’

 

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu wanita yang menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ disaman polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, tindakan itu diambil selepas rakaman video memaparkan kenderaan dengan pendaftaran ‘fancy’ itu tular di laman media sosial.

“Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah menerima aduan berhubung rakaman video yang tular berdurasi 0.11 saat itu yang menunjukkan sebuah kenderaan motokar jenis BMW berwarna kelabu menggunakan nombor pendaftaran fancy.

“Bertindak di atas aduan, pada hari ini (Isnin) jam lebih kurang 2.45 petang tadi pemandu kenderaan tersebut telah hadir ke Balai Trafik, Jalan Bandar bagi tujuan memberi keterangan untuk membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, hasil dari siasatan mendapati pemandu kenderaan tersebut yang merupakan seorang wanita berumur 32 tahun telah membuat pengakuan kepada polis bahawa kenderaan yang tular menerusi rakaman video di media sosial adalah miliknya.

Menurut Sarifudin, berikutan itu beliau saman RM300 di atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Justeru pemandu itu telah menukar semula ke nombor pendaftaran yang asal pada keretanya serta merta,” ujarnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette